Sayup di hujung sana ialah Jambatan Raja Muda Nazrin |
Dah lama benar tak jejakkan kaki di tempat ini. Rasanya sejak meninggalkan alam persekolahan hanya berapa kali je. Itupun sekadar sepintas lalu dalam perjalanan ke tempat lain. Tasik Raban dah jauh berbeza dibandingkan zaman keluarga kami menetap di Lenggong dulu. Pada masa tu tempat ini bukanlah satu tempat rekreasi dan rehat seperti yang ada sekarang. Ia hanyalah tasik di mana penduduk sekitarnya mencari nafkah melalui tangkapan ikan air tawar.
Ditengah-tengah tasik tu la jalanraya yang lama. Ia masih di gunakan |
Dengan perubahan terhadap infrastruktur pembangunan jalanraya di situ nampaknya Tasik Raban dah berubah wajah. Pembinaan laluan yang baru dan Jambatan Raja Muda Nazrin memudahkan perjalanan. Kawasan ini dulu kerap dilanda banjir. Masih ingat lagi pada musim hujan lebat jalanraya ataupun lebih merupakan tambak yang merentangi tengah-tengah tasik ditenggelami air menyebabkan laluan kenderaan tergendala. Bot terpaksa digunakan untuk menyambung perjalanan.
Pada masa dulu keluarga kami berulang-alik dari Lenggong ke Kuala Kangsar dan sebaliknya untuk selain drpd urusan tertentu balik kampung dan menziarah
keluarga. Perjalanan memang la bosan dengan pemandangan ladang getah dan pokok-pokok hutan. Inilah salah satu tempat yang saya tunggu-tunggu...bila nak sampai. Selain daripada Tasik Raban ada dua tiga tempat lagi yang ada tasik di kiri kanan jalan seperti di Kota Tampan Ayer. Saya suka sangat menjengokkan kepala melalui tingkap kereta bila sampai di sini nak rasa hembusan angin dari tasik. Sengaja dibuka cermin tingkap luas-luas bagi angin masuk sampai rambut habis kusut. Maklumlah pada masa itu kereta takde aircon pun...hehehe.
Bila sebut je Tasik Raban terus terbayangkan sejenis ikan yang rasanya susah nak dapat ataupun terdengar ada di tempat lain iaitu ikan loma. Masa dulu ikan ini banyak dijual berlonggok di tepi-tepi jalan termasuk di pekan-pekan kecil Raban, Kuak dan Kota Tampan Ayer. Ikan-ikan ini dijual dalam keadaan yang segar dan kadang-kadang masih hidup lagi. Kalau sanggup menunggu boleh dapat yang masih tercugap-cugap lagi daripada pemancing-pemancing yang gigih memancing di kiri kanan jalanraya dan tebing tasik. Arwah bapak kalau tak bertugas awal pagi dah bawak kami ke sini mencari ikan segar ni. Dia memang suka makan ikan loma. Ikan ini sedap digoreng rangup atau dimasak lemak cili api. Sebelum dimasak terlebih dulu direndam dengan asam keping dan garam untuk hilangkan baunya. Kalau yang suka makan gulai tempoyak ikan ni memang kenalah.
Tapi semua tu tinggal kenangan. Senario begitu tak dapat dilihat lagi. Ramai penduduk di sini dah beralih kepada ternakan ikan dalam sangkar. Tentulah cara ini lebih mendatangkan hasil. Kalau adapun yang memancing hanya sebagai hobi atau untuk keperluan sendiri.
ikan pekasam |
Tapi yang menjadi kebanggaan penduduk setempat ialah produk ikan pekasam. Ramai yang dah jadi pengusaha ikan pekasam. Mereka dapat bantuan teknikal daripada Jabatan Perikanan dan suntikan modal daripada pihak-pihak tertentu. Selain daripada ikan loma terdapat juga pelbagai jenis ikan dari tasik ini. Sebuah restoran tak jauh dari sini menyediakan menu ikan bakar pelbagai jenis ikan air tawar dari tasik dan sungai. Melihat senarai yang disediakan ada yang tak pernah makan ataupun dengar langsung termasuk ikan kerai, tenggalan, sebarau, kelabo, temoleh,juga patin,lampam,kaloi dan talapia. Ikan-ikan dipanggang atas bara arang. Aroma yang terbit dah cukup membuatkan kecur air liur. Bagi penggemar masakan kampung ada banyak pilihan seperti gulai asam keladi, masak lemak siput sedut, gulai rebung, masakan tempoyak serta deretan pelbagai jenis ulaman dan sambal.
Kebetulan ada pasar sehari. di sini....
Sesiapa yang ingin bermalam ada chalet disediakan. Kaki pancing memang teruja kalau dah pijak kaki di tempat ni. Bagi yang jiwang pulak panorama di Tasik Raban cukup mempesona terutamanya kala matahari terbit dan hampir tenggelam. Bagi saya tempat ni mengembalikan seribu kenangan lampau...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan