Sabtu, 29 November 2014

Kembara Kembalikan Kenangan Lalu





Dengan izin dariNya hari yang sangat dinantikan tiba juga.  Hari di mana kumpulan Kembara membuat sebuah konsert yang diberi nama Konsert Kembara Hati Emas di Panggung Sari, Istana Budaya pada hari pertama, Jumaat 21 November 2014.


Sewaktu tiba di cafe Istana Budaya sudah ramai yang berkumpul di sana.  Saya tidak jadi makan walaupun hb kata makanannya sedap.  Begitu teruja sangat nak menyaksikan persembahan kumpulan legenda yang sudah lama menyepi ini.

Mendengar lagu-lagu Kembara seperti melalui kembali jalan kenangan momen-momen kehidupan insan sezaman saya dalam kemelut kotaraya suatu ketika dulu.  Lagu-lagu Impian Anak Jalanan, Sesat di Kuala Lumpur, Duit, Gerhana, Di Perhentian Pudu Raya, Benteng Selera, Kutu, Kolar Biru, Lagu untuk Seorang ibu menjadi teman kala suka duka hidup di perantauan.



Hampir 28 tahun mereka tidak beraksi bersama.  Itulah kata-kata Datuk M.Nasir ketika berseloroh dengan A.Ali semasa persembahan mereka malam itu.  Satu tempoh penantian yang terlalu lama bagi peminat-peminat mereka.

 
Masih ingat lagi di awal kemunculan mereka dalam sebuah rancangan hiburan di kaca TV dulu.  Teman-teman serumah yang tinggal bersama di rumah sewa Kampung Baru dulu semuanya meninggalkan saya keseorangan menonton di depan TV.  Konsep lagu-lagu kumpulan ini yang jauh berbeza dari penyanyi lain dalam mainstream pada masa itu tidak dapat diterima oleh teman-teman. Mereka tambah pelik bila saya sangat teruja dengan lagu-lagu kumpulan ini.  Kemudiannya sibuk pulak mencari kaset berkenaan di pasaran untuk koleksi.

Kembara pada asalnya dianggotai oleh Datuk M.Nasir, A.Ali dan S.Sahlan ditubuhkan di Singapura pada tahun 80an. Kemunculannya memberi warna yang berbeza dalam dunia hiburan pada masa itu. Sayangnya mereka berpecah setelah menghasilkan beberapa album.  Namun tidak lama Datuk M.Nasir sebagai pengasas kumpulan ini meneruskan semula dengan anggota yang baru iaitu Shahrum Basiron sebagai pemain drum, Rahman Suri pemain Bass, Zoul pemain gitar utama, Md Shah Othman keyboard.

Datuk M.Nasir adalah tonggak dan teraju bagi kumpulan ini.  Kebanyakan lagu adalah sentuhan beliau sendiri dan lirik pula kebanyakannya ditulis oleh S.Amin Sahab yang amat sinonim dengan Kumpulan Kembara pada masa itu.  Malah kulit album mereka juga adalah hasil seni S.Amin Sahab. Ada juga beberapa lagu yang ditulis oleh A.Ali seperti Senandung Buruh Kasar, Ada Sepasang Mata, Sekuntum Bunga Plastik dan S.Sahlan pula lagu Ayahku dan Angkasawan... [Sekadar menyebut beberapa buah lagu]

Saya pernah melihat persembahan Datuk M.Nasir di Stadium Negara di era 80an bersama kumpulan Alleycats yang mana kebanyakan lagu hits adalah ciptaan beliau.  Ternyata Datuk M.Nasir sudah mempunyai pesona yang tersendiri Ketika itu.  Penampilannya bersahaja dan seadanya dengan berambut panjang, memakai tengkolok dan cuma berkaki ayam....[Ehh..  teringat ayat Sudin dalam filem Seniman Bujang Lapuk daaa...]  Namun ia amat terkesan hingga kini.

Saya terus saja mengikuti perkembangan kumpulan ini sehinggalah mereka berpisah membawa haluan masing-masing pada tahun 1986. Namun tokoh utama dalam kumpulan ini terus aktif dan gah dalam industri muzik tanah air.

Mungkin saya terlalu memberi fokus kepada seniman tersohor ini daripada anggota lain.  Tapi itulah Datuk M.Nasir. Bakat kepelbagaian beliau dalam dunia seni sebagai penyanyi, pemuzik, pelakon,  pencipta lagu, penulis lirik, pelukis, pengarah, pemilik Studio Luncai Emas dan entah pe pe lagi itu tidak usah dipertikaikan.

Selain daripada melodi yang sedap, catchy dan lirik yang bermesej usaha Datuk M.Nasir  mengetengahkan lagu-lagu ini di mana-mana saja sama ada solo atau berkumpulan membuatkan nama Kembara terus hidup di hati peminat. Lagu-lagu mereka malar segar.  Antaranya Ekspress Rakyat, Gerhana, Hati Emas, Duit, Kepadamu Kekasih, Keroncong Untuk Ana, Malam dan banyak lagi masih dan tetap relevan walaupun menempuh perubahan masa.

Antara koleksi cenderamata yang dibawa balik.... 

Pada Konsert Kembara Hati Emas di Istana Budaya,  lagu Empat Penjuru ada dalam senarai yang sarat dengan unsur nasihat.  Lagu ini menyedarkan anak muda supaya tidak terjebak dengan kehidupan yang penuh khayalan.  Begitu juga ada kata-kata nasihat dan harapan pada lirik lagu Impian Anak Jalanan....
Mungkin ada jalan di Kuala Lumpur
Jalan bahagia
Mungkin kita akan kecewa
Mungkin kita akan jadi alpa dan lupa
dan mungkin kita kan terpedaya
Mungkin kita akan jadi kaya serta lupa
Mungkin kita lupa pada asalnya...

Sebenarnya saya tertarik dengan lirik lagu Siapa Orang Kita yang dinyanyikan pada malam itu. Melodinya mudah diikut tapi liriknya kalau dihayati sangat mendalam maksudnya.  Ini jarang sekali ada pada lagu-lagu sebelum dan pada masa sekarang ini.  Mana?  Mana orang kita?  Tanya Datuk M.Nasir.

Lagu Nusantara, Kupu-kupu dan banyak lagi mempunyai mesej dan disampaikan kepada khalayak dengan cara nyanyian yang bersahaja.

Keterujaan bermula dengan lagu Ekspres Rakyat sebagai pembuka tirai persembahan.  Pemuzik-pemuzik hebat seperti Jari dan kumpulan Brass, Ujang, penyanyi latar, Romi yang mencuri perhatian penonton dengan aksinya dan lain-lain memberikan yang terbaik.  Persembahan visual dan props juga sangat membantu menghidupkan suasana dalam lagu-lagu. 

Menyaksikan persembahan mereka pada jarak yang agak hampir memberikan satu kepuasan.  Pertamanya dapat menonton di depan mata sebuah kumpulan yang amat diminati. Keduanya persembahan yang disajikan memang mantap.
 
Setiap lagu yang didendangkan membuka kembali lembar kenangan menelusuri kehidupan di kotaraya. Lagu Perhentian Pudu Raya misalnya, di situlah nadi Kuala Lumpur tempat berjumpa teman-teman lama dan baru yang sama menggunakan perkhidmatan bas dan teksi pulang ke kampung halaman.  Tentunya di sini terlakarnya pelbagai kisah.

Seperti juga dengan lagu Ekspres Rakyat.  Bagi generasi akhir tahun 70an dan awal 80an dulu bukannya mudah untuk memiliki kenderaan sendiri. Perkhidmatan pengangkutan awam ini sangat popular untuk perjalanan jarak jauh.  Mungkin faktor ini juga mendekatkan lagu-lagu mereka di hati rakyat.

 Lagu Bas No.13 dinyanyikan oleh Zoul dengan rentak yang sangat memikat...rentak reggae. [Agaknya la...  Maaf kalau salah] Datuk M.Nasir bercerita lagi. Lagu ini dicipta kerana sering berulang alik dari rumahnya di Orchard Road dengan bas no.12 dan menyambungnya pula dengan bas no.13 ke Geylang Serai di Singapura. Dalam gurauannya beliau mengatakan bas no.13 ini unlucky bagi orang lain  tetapi tidak baginya.

 Ini mengingatkan saya kembali kepada bas warna biru putih milik SJ yang menjadi kenderaan penting ke tempat kerja pada tahun 80an dulu. Perjalannya dari Jalan Pekeliling melalui Jalan Chow Kit, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Raja, Jalan Sultan Muhammad dan Bus Stand Klang. Nostalgik sungguh....

Pada pemerhatian saya lagu Rupa Tanpa Wajah dinyanyikan oleh Datuk M.Nasir amat sempurna.  Saya suka lagu ini. Mengingatkan saya juga pada filem Kembara Seniman Jalanan oleh Nasir Jani yang saya tonton beberapa kali.  Filem mengisahkan survival seorang anak muda bernama Bujang (Jebat) lakonan Datuk M.Nasir yang berhijrah ke Kuala Lumpur ingin menjadi penyanyi.  Kata Datuk M.Nasir ini lagu surrealis...Surrealistic...apa maknanya...entahlah...jawabnya sendiri. Penonton tergelak dengan usikan itu...
 
Hampir 30 buah lagu dipersembahkan dalam pelbagai genre. Ada masanya beliau mengusik penonton mengatakan ada duit yang akan turun dari atas... Jangan berebut,ya...  Dan lagi memberitahu kita dalam perjalanan mencari hati emas...  Cuba raba di bawah kerusi mungkin ada di situ.  [Kalau la  betul-betul ada kan.....]  

Kemantapan suara Datuk M.Nasir dan sesekali aksi ligatnya di pentas membuat hati bertanya di mana dia mendapat energi begitu hebat pada usianya.  Saya percaya energi ini juga mempengaruhi persembahan A.Ali dengan lagu Oh Bulan, Ada Sepasang Mata, Perhentian Pudu Raya, S.Sahlan - Ayahku dan  dan Zoul lagu Bas No.13 dan Bunga Bakawali dengan begitu baik berterusan selama dua jam setengah.

Sukar untuk menafikan hati diusik sebak kala lagu-lagu Keroncong Untuk Ana dan Kepadamu Kekasih terlantun dari penyanyi penuh aura ini.  Tiupan saksofon pemuzik Jari bersatu dengan lunak syahdunya suara Datuk M.Nasir membuat penonton larut dalam perasaan masing-masing....feeling habis!

Pada dua lagu terakhir penonton tidak dapat membendung lagi keinginan untuk menyanyi lagu -lagu Hati Emas dan Gerhana keseluruhannya.  Lagu yang merupakan roh kepada kumpulan ini bergema di Panggung Sari meremangkan bulu roma.  Kesemua penonton terpaku di kerusi enggan melepaskan kumpulan ini pergi walaupun Datuk M.Nasir sendiri berulang kali memberitahu show dah habis dan beliau serta rakan-rakan dah tak ada lagu nak dimainkan.  Jeritan-jeritan kedengaran....
 
Encore!!!...

Jumpa lagi...

Walaupun dalam keadaan yang memerlukan rehat secukupnya untuk persembahan dua malam lagi, sebuah lagu bernama Khafilah dihadiahkan buat penonton menutup tirai persembahan mereka.

Terima kasih kepada kumpulan Kembara dan warga muzik yang superb serta semua yang terlibat.  Terima kasih kerana berkongsi memori indah masa silam saya dan 'yang sama waktu dengannya'.  Harap Kembara akan terus mengembara dan lagu-lagu mereka singgah di hati generasi ke generasi....

Mungkinkah dikau miliki
Hati emas suci murni
Inginku menjadi sahabatmu
Hingga akhir hayat nanti

Kembara
Puas sudahku mengembara
Mencari hati emas bukannya mudah
Mungkin selamanya takkan aku temui


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...