Isnin, 31 Disember 2012

Mewarna batik canting...



 Saya masuk pertandingan mewarna batik.  Kelakar bunyinya.  Saya tak ada pengalaman langsung dalam hal mewarna batik ni.   Dah lama meninggalkan zaman sekolah.  Nak pegang berus pun rasa kekok apa lagi nak bermain dengan warna. Walaupun dulu subjek ini memang paling diminati dan ditunggu-tunggu tetapi masa telah menghakis semua bakat saya.  Lagipun teknik mewarna batik di atas kain sedikit berbeza daripada mewarnaya di atas kertas.


 Ada puan penasihat nampak....
    Bila dapat panggilan yang adik masuk bertanding (dia juga bidan terjun!) teringin pulak nak tengok dia mewarna.  Sampai di sana kebetulan masih ada tiga tempat yang kosong. Tetiba je rasa nak mencuba.  Biar betul!  Kalau orang tengok kononnya macam rileks je tapi tangan habis mengeletar.  Macam orang kena parkinson pun ada.  Letak je berus ke atas kain baru tau azabnya.  Dalam  hati berkata-kata boleh ke aku siapkan dalam masa yang ditetapkan.  Toleh ke kiri, ke kanan nampak orang lain punya cantik-cantik belaka.
Makcik ni bajet menang... hehehe..
     Sekali sekala terasa pemidang kain bergegar bila ada peserta terlanggar ataupun tersentuh agak kuat.  Terpercik jugalah warna ke atas kain yang nak diwarnakan. Ada juga peserta yang berbunyi, tapi bagi saya tak jadi hal.  Ini sekadar suka-suka dan ia satu pengalaman yang menarik.

Sebelah kiri menang tempat pertama (adik punya...)
     Akhirnya keputusan diumumkan adik yang menang tempat pertama!  Hasil  tangannya memang bagus.  Pilihan warnanya yang garang nampak menyerlah, ada tona yang menarik dan menepati kehendak ciri-ciri batik itu sendiri.

Inilah aku punya...


Tengok balik hasil kerja sendiri amatlah mendatarnya warna yang saya pilih. Terlalu polos. Senang kata tak ada daya penarik.  Hmm.. sekadar mencuba. Rasanya taklah terlalu lewat sangat untuk belajar, kan?


 
     Nampaknya orang yang menang nak belanja makan...hehehe...

Kalau dah terdesak....





      Jangan tak percaya perkara macam ini pun boleh terjadi.  Agaknya apalah yang menyebabkan mereka ini  sanggup membahayakan diri dengan menaiki kenderaan cara begini.  Tentulah mereka ada jawapannya sendiri.

Ahad, 23 Disember 2012

Kampung Sungai Limau

   Suka sangat melihat pemandangan di.kampung ini.  Sayang sekali saya tak ada kamera yang canggih untuk merakam sesuatu yang saya lihat ada nilainya tersendiri.  Saya datang cuma untuk menemani hb ke majlis kahwin anak seorang teman sekolahnya.  Mereka ni sebenarnya rakan sekolah yang dah terpisah lebih 40 tahun dan baru saja membuat reunion kawan-kawan sekolah rendah. 
      Kami sampai lewat sikit sebab terlebih dulu ke majlis kahwin jiran sebelah rumah.  Maklum saja musim cuti sekolah ni sinonim sangat dengan musim orang kenduri kahwin.  Undangan jiran wajib didahulukan.
      Tiba di pekan Setiawan, dengan bantuan GPS akhirnya kami dapat cari juga Kampong Sungai Limau.  Saya tertarik dengan rumah-rumah  di perkampungan ini yang masih mengekalkan ciri melayu tradisonal. Deretan pokok-pokok kelapa sekitarnya menguatkan lagi ciri-ciri tersebut dan menambahkan seri kepada pemandangan di perkampungan ini.    








      
     Sebenarnya banyak tempat dan objek yang 'mengusik' hati saya untuk merakamkannya.  Seperti dah saya katakan saya tak punya kamera yang canggih.  Dengan hanya kudrat telefon bimbit yang ada dapatlah juga saya merakam beberapa gambar.

      

Jumaat, 21 Disember 2012

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui....

   Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah swt kerana masih lagi diberi keizinan menghirup udara di bumi milikNya.  Hari ini 21.12.2012 tarikh yang dihebuh-hebuhkan bahawa dunia akan kiamat.  Sebelum ini sudah banyak perkara ini diperkatakan.  Malah sebuah filem bertajuk "2012" pernah dibikin pada tahun 2009 mengenai perkara ini.  Filem ini dibuat berdasarkan kepada pengiraan kalendar masyarakat Mayan yang berakhir ataupun terhenti pada 21.12.2012 (end of times).  
    Filem "2012" yang diarahkan oleh pengarah Roland Emmerich ini hanya bersandarkan kepada teori-teori oleh masyarakat kaum Mayan.  Sebagai orang Islam kita wajib percaya kepada hari kiamat tetapi ia bukanlah boleh diramal atau ditentukan tarikhnya.  Ia adalah rahsia Allah swt.  Tidak ada seseorang pun yang mengetahui bilakah datangnya hari kiamat.  Sesungguhnya Allah maha mengetahui.

Selasa, 18 Disember 2012

Membeli-belah di hujung tahun...

        Hmm.... dalam kata harga barangan melambung naik tapi di mana-mana kompleks membeli belah berasak-asak dengan manusia.  Jalan raya sesak.  Tempat letak kereta pulak tak cukup-cukup.  Rata-rata kalau dilihat gaya mereka berbelanja memang tak nampak pun macam ada masalah. Tak kira di awal  bulan, pertengahan bulan dan apa lagilah di hujung bulan, bila-bila masa orang bershopping.  Agaknya yang berbelanja tunggu sampai tersentak hujung bulan tu generasi kami dulu-dulu.  Kalau tak sampai mencecah angka 27 hari bulan ke atas memang menahan sabar sajalah.  Kalau keluar pun sekadar window shopping dan berangan saja kot.

    Sesetengah orang suka membeli-belah di hujung tahun (year end sales) atau di musim-musim perayaan kerana kebanyakan pusat-pusat peniagaan menawarkan potongan harga terendah.  Kalau di hujung tahun macam ni alasan peniaga kononnya nak habiskan stok lama.  Sebab itulah sana sini nampak kotak-kotak besar penuh dengan beg tangan, kasut, pakaian malah apa saja barangan yang dikira behind the time...dijual dengan potongan harga  20%, 50% ataupun 70%.  Ada juga yang membuat penawaran promosi seperti pemberian kupon diskaun untuk pembelian yang seterusnya.

 Kebetulan pulak perayaan Krismas memang disambut di hujung tahun makin ramailah yang keluar berbelanja.


     Biasanya di hujung tahun ni juga ibu bapa sibuk menyediakan persiapan anak-anak nak masuk sekolah.  Pening kepala pun mulalah datang bila semua  nak dibeli.  Bagi yang bijak awal-awal lagi dah buat persiapan.  Jadi tidaklah semuanya dibebankan serentak di hujung tahun.
   Promosi jualan kembali ke sekolah  dilihat sana sini.  Pakaian dan peralatan sekolah dilambakkan di bahagian depan tempat perniagaan untuk menarik perhatian pelanggan.    
      Sebuah kedai ini memikat pelanggan dengan cara tersendiri.  Semua promoter dan pekerja di bahagian kaunter  masing-masing memakai pakaian seragam sekolah rendah dan peringkat menengah.  Lucu pun ada melihat gelagat "kanak-kanak sekolah" ini sibuk melayan pelanggan mereka. 
  
Kepada yang seronok berbelanja tu eloklah berhati-hati.  Inilah masa pencopet ataupun peragut melakukan tugas mereka.  Terleka sekejap je beg tangan boleh lesap.  

Jumaat, 14 Disember 2012

Nak komen juga pasal bola semalam....

Hancurlah harapan pasukan Harimau Malaya untuk beraksi di final Piala AFF Suzuki 2012.  Permainan dengan Thailand semalam meninggalkan calar di hati pemain dan peminat pasukan negara.  Tindakan refree Lee Min Yu yang mengeluarkan kad merah kepada Mohd. Fadhli Shas mengundang rasa tekanan kepada pasukan negara di separuh masa pertama.  Manalah  tahan bermain dengan hanya 10 orang dalam keadaan tertekan begitu.  Sudahlah layanan yang diberikan kepada pasukan kita pun dengarnya kurang memuaskan.   Keputusan mungkin berbeza jika insiden ini tidak berlaku.

Mungkin tindakannya semalam menggangu emosi pemain
  Baby pun menonton tv jugak semalam tapi tak lama.





 Eh..eh apa pulak ni...

Ini tidak adil!  Mungkin itulah kata-kata Baby...
Selepas dengar orang semua bising-bising dia terus turun ke tempat lain.  Apa lagi jilat bulu dan tido le....

Apapun tahniah juga diucapkan  kepada skuad Harimau Malaya di atas usaha kalian.  Semoga apa yang berlaku tidak melemahkan semangat juang dan Harimau Malaya akan terus mengaum di persada sukan tanah air dan antarabangsa.

Isnin, 10 Disember 2012

Baby Pun Penyokong Harimau Malaya...

Kalaulah Wan Zack Haikal bermain malam tadi adakah pasukan kita mampu menang?  Bagaimanapun pujian harus diberi kepada pemain-pemain negara kita yang bertungkus lumus terutama kepada penjaring unggul Mat Yo dan cubaan Safee Sali yang hampir mengena.  Seri 1 - 1 bermakna di Thailand nanti mesti berusaha lebih kuat lagi.  Semoga sukses Harimau Malaya...



Baby penyokong Harimau Malaya.. Semangat..semangat...
Baby kecewa bila Thailand menyamakan kedudukan


Eiii..takut nak tengok tapi berharap Mahali dapat sumbat satu gol lagi....

Aku pun sedih jugak tengok Mat Yo macam ni....huhuhu

 Sebelum tido ni aku doakan semoga HM mampu ke final...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...