Sabtu, 15 Jun 2013

Bukit Larut...

    Bukit Larut di Taiping Perak ataupun dulunya dikenali sebagai Bukit Maxwell adalah kawasan rehat tanah tinggi yang tertua di Malaysia. Namanya diambil bersempena nama seorang Penolong Residen British Perak, George Maxwell (1846 - 1897) yang menerokanya.  Walaupun tempat ini tidak popular seperti Cameron Highlands ataupun Bukit Fraser tetapi ia mempunyai identitinya tersendiri.  Suasananya yang tenang, sunyi, nyaman dan semulajadi menambat hati sesiapa yang pernah ke sana untuk kembali berkunjung semula.
 


    Sekali lagi tempat ini menjadi pilihan destinasi cuti-cuti keluarga kami. Untuk kesekian kalinya kami mengatur trip menuju ke puncak Bukit Larut dengan segala macam persiapan.  Pada trip yang lalu kami tertinggal beras dan bahan-bahan lain untuk dimasak di atas sana. Tapi kali ini...nah, sampai pemandu jip pun terkejut tengok barang-barang kami.  Katanya macam nak duduk sebulan.  Hehehe... penuh trailer....
    Kami menaiki jip yang ditempah tiga minggu awal.  Bayaran bagi orang dewasa sebanyak RM6 dan kanak-kanak separuh daripadanya. Sewa trailer pulak RM15.  Barang-barang yang agak fragile dipegang sendiri. Takut kejadian yang lalu berulang iaitu ada barang yang terbang dari trailer, kami lebih berhati-hati menyorok barang-barang ringan di bahagian bawah.

    Walaupun thrill semasa jip ini memecut ke puncak tidaklah sehebat pengalaman beberapa kali ke sini dulu tapi masih ada rasa ngeri bila mendengar tayar jip menciut kala membelok di selekoh tajam.  Perjalanan mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk sampai ke banglo yang kami sewa iaitu pada ketinggian 1034 meter daripada paras laut.  Dari kaki bukit tempat jip ini memulakan perjalanan hingga ke puncaknya terdapat lebih kurang 72 selekoh berliku yang akan ditempuh. Memang ekstrim...




   Nasib baik pemandu sedikit peramah membuatkan lupa seketika rasa cemas yang bersarang.  Tapi kala menjeling ke bawah gaung curam menerusi tingkap jip yang terbuka...kus semangat.. Jalan bertar ini cuma selebar sebuah kenderaan saja dan bertebing curam. Ada juga bahagian jalan yang keadaannya seperti berlaku gelonsoran tanah. Pheww....
    Semasa jip kami bertembung dengan jip yang hendak turun ke bawah, terpaksalah berundur sedikit untuk memberi ruang kepada kenderaan tersebut turun meneruskan perjalanan.  Masa inilah masing-masing menjerit-jerit bimbang mengelungsur ke bawah.  Pemandu jip hanya tersenyum.  Dia biasa sangat dengan gelagat penumpang-penumpang yang merasa cuak. Namun kemahirannya memandu dalam situasi begini memang tidak perlu dipersoalkan lagi.


  
Pendaki terpaksa ke pinggir jika ada jip yang lalu kerana jalannya sempit...

      Sepanjang perjalanan leka melihat pemandangan alam semula jadi.  Kawasan bukit ini di naungi pokok hutan dara tropika yang berusia ratusan tahun.  Deruan air mengalir turun dari celah-celah batu besar dan rimbunan paku pakis ke parit-parit di tepi jalan memberikan udara yang nyaman dan segar. Kelihatan ada pendaki yang melepak di sini melepaskan penat.  Kami diberitahu ada dua jalan yang boleh sampai ke puncak.  Bagi yang suka mendaki mereka boleh mendaki melalui laluan trek yang disediakan ataupun jalan bertar yang dilalui oleh jip ini.
Tea Garden House
    Cuaca yang sejuk dan lembab di kawasan ini membenarkan hidupan pelbagai flora dan fauna.   Faktor ini jugalah diambilkira oleh pegawai-pegawai Britisih untuk membina sebuah tea garden di mana penanaman teh jenis Assam cuba di tanam di Bukit Larut.  Bagaimanapun setelah beberapa ketika ia dipindahkan ke Cameron Highlands. Kita masih dapat melihat bangunan kuarters pekerja-pekerja ladang teh kira-kira separuh perjalanan mendaki.
    Dalam keadaan masih pening kami sampai di rumah penginapan Banglo Permai View.  Sebenarnya sudah beberapa kali jugalah kami menyewa rumah ini. Kami pernah juga tinggal di Banglo Tempinis yang kedudukannya lebih jauh ke puncak dan agak jauh terasing daripada banglo lain.  Banglo Permai View ini mempunyai tiga bilik tidur, ruang tamu, ruang  makan, bahagian dapur dan dua bilik air. Kelengkapan untuk memasak ada disediakan.  Tapi setiap kali ke sini kami lebih gemar membawa peralatan sendiri.
     Banglo-banglo lain yang terdapat di Bukit Larut ini adalah Beringin, Angkasa, Cendana, Sri Kayangan dan Rumah Rehat Gunung Hijau.  Rumah-rumah ini asalnya rumah rehat pegawai-pegawai tinggi British di zaman kolonial dulu yang telah diubahsuai. Mereka meneroka tempat ini dan menjadikannya sebagai tempat berehat kerana cuacanya yang dingin.  
Banglo Permai View

Beringin
     Setelah menikmati makan tengahari, berehat dan menunaikan apa yang patut kami keluar mendaki ke tempat yang lebih tinggi.
     Di paras 1036m dari laut ini terletaknya taman yang dilengkapi dengan bangunan menara dan titi gantung. Keseluruhan Bandar Taiping boleh dilihat dari sini.  Malah boleh juga nampak muara Kuala Sepetang dan Selat Melaka.  Sayangnya bangunan menara tinjau ini sudah tidak selamat digunakan lagi.

Lebih menarik jika ditanam lebih banyak pokok-pokok bunga  


   
Woww...
    Dari taman ini kami mendaki ke aras yang lebih tinggi sedikit.  Di sini terdapat sebuah cafe.  Tidak pasti ia masih beroperasi  ataupun tidak kerana setiap kali sampai ke sini ia ditutup. Mungkin dalam proses pengubahsuaian.  Beberapa buah bangunan rumah kelihatan terbiar di sini.  Kebanyakan bumbung bangunan, dinding, batu-batu besar dan batang pokok kelihatan diselaputi lumut hijau.  Pokok-pokok Pine yang berusia beratus tahun teguh berdiri memberi pemandangan yang agak berbeza daripada tempat-tempat lain.
   Pengunjung yang tidak bermalam akan diturunkan di sini dan dijemput semula mengikut jadual yang ditentukan sebelum jam 5 petang.  Ketika ini hanya kami saja yang berada di sini.  Suasana .  begitu tenang dan sunyi.  Tiada kedengaran bunyi selain hembusan angin, desiran dedaun dan cicipan burung-burung.


Cafe Bukit Larut

Mendaki lebih tinggi sikit pasti akan sampai  ke Cendana Hut. Ia dikendalikan oleh pihak swasta Kamalbina Sdn. Bhd. Penginap  tidak dibenarkan memasak di sini.  Bagaimanapun makanan disediakan oleh pihak pengurusan jika  diminta dan tidak termasuk dalam bayaran tempat menginap. Inilah satu-satunya rumah penginapan di Bukit Larut yang ada kafeteria.  Di hadapannya  dibuat satu sitting area yang menarik dimana sambil makan dan minum sambil menikmati pemandangan yang sangat indah.

Cendana Hut




    Berhampiran banglo ini terdapat sebuah tapak semaian bunga Tulip yang menjadi tumpuan peminat-peminat bunga yang benihnya didatangkan khas dari Belanda satu ketika dulu.   Sayangnya ia juga tidak diusahakan sejak empat tahun lalu disebabkan beberapa faktor. 
      Kami pernah mendaki hingga ke Banglo Tempinis semasa bermalam di sana yang tingginya 1143 meter di puncak.  Banglo ini terletak betul-betul di pinggir hutan dan di bahagian hadapannya terdapat batu-batu yang besar. Di sini cuacanya lebih sejuk dan sunyi apalagi di kala malam.  Semasa kami menginap di sini dulu tidak ada aktiviti malam yang dapat kami buat kerana di luar sejuknya menusuk ke tulang.  BBQ pun terpaksa buat dalam rumah saja.



Banglo Tempinis semasa kami menginap di sini...awal tahun 2010 

     Tapi di Banglo Permai View kami ber BBQ di luar rumah.  Halaman rumah ini betul-betul menghadap pemandangan bandar Taiping dan sekitar. Waktu malam pemandangan lampu-lampu sayup di bawah sana kelihatan seperti butiran permata yang berkilauan.  Menjamu selera sambil menikmati pemandangan malam bandar Taiping yang berkabus di puncak Bukit Larut....memang mengasyikkan....






Antara menu makan malam...

Tu bulan.....

Sarapan pagi...bersama sejenis ulam yang tumbuh sekitar rumah..
disyorkan oleh seorang h/keeper yang sangat peramah....


Tumbuhan herba.....bahan perisa dalam sup atau tomyam di petik di laman rumah...
Seakan-akan daun kesum tumbuh di tepi-tepi jalan

   Peliknya walaupun cuaca di sini sejuk makin pulak kerap rasa nak mandi.  Sengaja tidak menggunakan water heater untuk merasakan kesegaran air di sini.  Memanglah pada curahan pertama ke badan terjerit terlolong dibuatnya.  Lama kelamaan semakin segar rasanya walaupun mandi di awal subuh!
Menghirup udara segar dan nyaman di waktu pagi



  Bagi sesetengah orang Bukit Larut mungkin satu tempat yang membosankan keran a jauh dari kemudahan moden.  Lain pula bagi saya, Bukit Larut memberikan suasana tenang, tenteram dan mendamaikan.  Setiap kali ke sini saya terasa seolah-olah berjanji akan datang semula untuk menikmati suasana yang sememangnya sukar nak digambarkan.
   Namun ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian oleh pihak-pihak tertentu bagi memastikan tempat istirehat seperti ini akan terus dapat dinikmati keindahannya oleh generasi akan datang.  Penyelenggaraan berkala sebaiknya dilakukan pada bangunan-bangunan yang ada kerana ia merupakan tinggalan sejarah yang tentunya tidak akan dibina semula.  Tea House Garden dibangunkan semula setanding Tea Bharat Plantation di Cameron Highlands.  Wujudkan kembali tapak semaian Tulip yang menjadi daya tarikan pengunjung. Hiasan pokok-pokok bunga berbagai warna perlu diperbanyakan.  Paling penting tingkatkan mutu laluan bertar yang dilalui oleh jip-jip.  Keselamatan pengunjung mesti diutamakan. 
Sebuah rumah yang terbiar usang berhampiran Permai View

   Apa pun yang diusahakan bagi menambahbaikan seharusnya tidak mengganggu ekologi dan keindahan alam semula jadi yang dianugerahkan oleh Yang Maha Esa untuk kita wariskan kepada generasi seterusnya...
   
Dari tingkap jip
   Bye bye....Bukit Larut...hingga jumpa lagi....


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...