Saya merasa sedikit terkilan sebab gambar-gambar yang saya ambil bagi merakamkan keindahan gunung ganang ini tidak menjadi.
Pekan Lenggong berlatarbelakangkan gunung yang indah |
Pekan Lenggong. Inilah laluan saya tempuh setiap hari berjalan kaki pergi balik ke sekolah |
Di belakang tu stesen bas Lenggong. Bas merah kuning milik Sy. Red and Yellow Omnibus |
Pejabat Pos Lenggong |
Semasa bersekolah dulu jika sampai di Pejabat Pos Lenggong ini bermakna baru separuh jalan ke sekolah. Rumah kami terletak di Kampung Sekolah Perempuan betul-betul di hujung pekan Lenggong. Selepas pejabat pos ini jauh ke depan lagi ialah Balai Polis Lenggong, SRJK Bukit Balai, kuaters kerajaan, pejabat bomba, rumah rehat, menurun bukit sikit berdepan dengan sebuah jirat Cina tu lah sekolah saya. Saya lebih suka ke sekolah dengan berjalan kaki je. Kalau hari hujan tu terpaksa jugalah minta tolong ayahanda hantarkan.
Pada suatu ketika saya ada seorang kawan nama Naemah Abdul Manaf berasal dari Chepor. Dia pergi ke sekolah naik basikal. Oleh kerana saya suka berjalan kaki dia pun nak ikut sama. Dia menyimpan basikal di rumah saya dan kami sama-sama menapak ke sekolah. Habis kelas kami ke perpustakaan dan dah tentu menyinggah lepas satu ke satu kedai. Habis tu mesti pekena ABC dekat stesen bas tu. Bila habis je peperiksaan tingkatan tiga saya dah tidak berjumpa dia lagi.
Pernah semasa saya seorang diri ke sekolah, waktu tu dah lewat sangat, sebuah kereta berhenti di depan pejabat pos ni. Tengok-tengok rupanya salah seorang cikgu yang mengajar di sekolah saya yang juga merupakan jiran sebelah rumah kami - Cikgu Dato' Hj. Meor Aris. Kantoi... masa tu dah pun pukul 8 lebih. Punyalah malu tapi nak tak nak terpaksa naik jugalah kereta beliau. Kalau tak silap saya masa tu keretanya Ford Aglia berwarna biru. Saya dapat tahu beliau telahpun kembali ke rahmatullah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.
Kesempatan yang ada kami ambil peluang meninjau rumah-rumah yang saya pernah tinggal dulu. Saya sebut rumah-rumah kerana ada banyak rumah yang saya dan keluarga menyewa di sini. Rumah yang pertama adalah kepunyaan seorang guru bernama Cikgu Nik. Selepas itu kami berpindah menyewa sebuah rumah yang agak antik kepunyaan seorang yang bernama sama dengan ayahanda saya. Rumah ini dibina dengan seni ukiran kayu melayu lama pada kekisi di beranda dan ukiran yang cantik di sekiling bumbung rumah. Sayang sekali rumah ini sudah roboh kerana tiada sesiapa yang mengambilalih selepas tuan punya meninggal. Kalau masih wujud lagi tentu rumah ini tinggi nilainya. Ia terletak di belakang deretan kedai berdekatan simpang ke masjid. Dulu kalau nak beli makanan pun mudah. Sebuah restoran yang saya masih ingat seorang pekerjanya bernama Mahmud berketurunan India Muslim hanya lima enam meter je dari tangga beranda. Hujung minggu pulak ada jualan pasar minggu betul-betul di depan laman rumah. Kedai Pak Lasah dan apek menjual barangan runcit. Pendek kata (macam si Labu cakap dalam filim Labu dan Labi) serba serbi mudah.
Sahabat-sahabat bonda di kawasan rumah lama pun sering singgah ke rumah sebab bukanlah jauh sangat dengan rumah yang sebelumnya. Lagipun sambil-sambil membeli barangan di kedai singgah bertanya khabar. Jiran sekeliling best sangat. Kadang-kadang berborak dengan mereka hingga jauh malam berteman kopi dan sedikit kudapan. Apalagi kalau cerita-cerita hantu yang menjadi topik sembang. Di bulan puasa paling meriah masing-masing bertukar-tukar juadah. Sampai lima enam jenis tak habis dimakan. Jiran-jiran sepakat bergotong-royong membuat dodol dan membakar lemang di laman rumah. Di hari Asyura pulak berkumpul di rumah kami buat bubur Pendek kata (...lagi) semangat kejiranan semasa dulu memang utuh tidak seperti pada masa kini yang semakin tawar dan longgar
Keluarga kami tak tinggal lama di sini sebab berpindah lagi. Tapi saya terpaksa tinggal di rumah ini bersama dengan kakak yang baru habis latihan di MPPM Melaka kebetulan dapat posting mengajar di Sekolah Rendah Temelong daerah Lenggong. Pada masa itu saya sudahpun mendaftar untuk tinggal di asrama kerana tidak dapat mengikut keluarga disebabkan dah hampir dengan tarikh peperiksaan. Oleh sebab rumah itu agak besar dan tidak sesuai untuk kami yang tinggal berdua, kakak saya menyewa pula sebuah rumah yang berdekatan milik Encik Embun. Selepas hampir setahun kakak saya pulak bertukar mengajar di sekolah lain di daerah Kuala Kangsar. Tinggallah saya menyewa bilik dengan kawan-kawan di sebuah rumah di Kampung Sira dan kemudian berpindah lagi ke rumah lain di Bukit Senyum. Huh... boleh tahan panjangnya cerita berpindah randah ni.
Ini gambar rumah pertama yang kami sekeluarga tinggal apabila mula-mula berpindah ke Lenggong terletak di Kampung Sekolah Perempuan. Terkejut juga saya tengok rumah ini masih kekal dan utuh seperti dulu walaupun dah berpuluh-puluh tahun dan keseluruhan strukturnya adalah daripada kayu. Dan paling memeranjatkan pokok besar tempat kami lepak-lepak di depan rumah masih wujud lagi di situ!
Rumah sewa kami yang di tengah. |
Rumah Pak Haji Mahmud tempat belajar al-Quran |
Di bawah rumah Mak Teh ini dulu ada lesung kaki tempat menumbuk beras dan kacang dijadikan tepung untuk buat kuih |
Sungai tempat mandi-mandi yang luas dan jernih kini parit sempit yang terpinggir |
Mak Teh di pintu dapurnya. Laman rumahnya tempat main konda kondi |
Saya dulu pin duduk Lenggong 1966..1981
BalasPadamMcm familiar penulis ini. Tp masih x dapat mengingati wajah beliau. Terima kasih menulis ttg Lenggong...terutama kpg Sekolah Perempuan
BalasPadamKami pun duk kg sekolah.. umh dekat dengan umh penulis..
BalasPadam