Selasa, 30 Oktober 2012

Perjalanan yang tak dirancang 2

Salam.. Jumpa lagi.  Ni nak sambung cerita pergi Cameron Highlands dulu tu. Tapi takde la nak bebel panjang.  Letak gambar dah cukup menceritakannya.  Kata orang putih,  a picture is worth a thousand words.
        Bangun pagi macam biasa je.  Tak la sejuk sangat dibandingkan masa-masa dulu.  Kalau dulu nak gosok gigi pun tangan mengeletar sampai tergosok bibir.   Entahlah mungkin kerana terlalu banyak gunung dan bukit ditarah di kawasan ni.   Pembinaan hotel, apartment, tempat-tempat perniagaan termasuk ladang-ladang teh, strawberry, sayur-sayuran, bunga, dan ladang ternakan lebah nampaknya tumbuh di mana-mana saja.  Lama kelamaan Cameron Highlands akan hilang kedinginannya oleh kerakusan manusia yang mengejar ringgit semata-mata.
 Rumah Tasik di Habu, Ringlet
         Pagi keluar sekejap cari sarapan. Ronda-ronda akhirnya masuk food court yang kami pergi malam tu.  Tak nampak pulak tauke gerai yang saya ceritakan tu.  Gerainya pun masih belum dibuka lagi.  Nak makan roti canai tapi bro yang tebar roti canai tu cakap dia dah tak terlayan lagi.  Pelanggan pun dah marah-marah tunggu roti tak sampai sampai. Nak tak nak kami makan je apa yang ada.  Masing-masing buat pilihan sendiri nak pesan makanan dari mana-mana gerai. Gerai yang dibuka pun tak banyak sedangkan orang yang datang kian ramai.
         Selepas sarapan beredar pulak ke pasar pagi Brincang.

Mencari sesuatu di pasar pagi Brincang

Segala macam ada di jual di sini.  Tapi bila dah selalu datang ke mari tak la mengila sangat nak memborong. Jalan-jalan tuk cuci mata je. Semua tempat yang nak dilawat pun dan dah tak teruja sangat. 

The Smokehouse



Macam mana pun yang tetap tidak membosankan ialah panorama ladang teh yang tiada kata-kata  dapat  menggambarkannya.  Lepak-lepak di cafe lereng bukit sambil menikmati secawan teh panas pudina atau peppermint atau lain-lain rasa...Huhh...layannn.

Ladang Teh Bharat







Uniknya pemandangan ladang teh yang memukau ini boleh juga dilihat menerusi dinding cermin dalam bilik tandas.  Hehehe....sambil termenung mencari ilham.  Jangan ada yang meneropong dari jauh sudahlah...






Pernah tengok buah ni?  Apek yang jual tu beritahu namanya buah kuku rimau.

Dalam perjalanan balik  pun kami dijemput singgah rumah sahabat di Kampung Raja. Bersusah payah keluarganya menyediakan minuman petang bersama hidangan mihun goreng.    Kami juga dibekalkan dengan sayur hasil tanaman ladang mereka, ada kobis, salad, sawi dan tomato.  Terima kasih banyak-banyak. 
Pondok Orang Asli menjual madu, petai dan lain-lain sepanjang jalan utama Cameron Highlands.

Inilah percutian yang dibuat tanpa perancanganHasilnya terkandas berjam-jam lamanya dalam perjalanan, sukar mendapat tempat menginap, perbelanjaan yang tinggi masa peak holiday season, lemas dan sesak nafas dengan manusia di mana-mana.  Serik?  Emm..mesti ada persediaan awal.








Isnin, 29 Oktober 2012

Perjalanan yang tak dirancang....

 Perjalanan ke Cameron Highlands ini adalah ke berapa kalinya. Tak di rancang  pun main terjah je. Asalnya  naik ke atas dan turun pada hari yang sama tak nak stay.  Ada pulak yang syorkan untuk bermalam, tak puas kalau tak tidur kat tempat cuaca sejuk ni.  Kami pergi dengan dua buah kereta.  Jadi eloklah kami ambik penginapan di homestay saja.  Homestay yang dipilih di Taman Sedia siap buat tempahan mengejut.

  Dalam perjalanan kami singgah sekejap di Kg. Raja, rumah rakan lama hb. Alhamdulillah, kami  dijamu sate dan laksa...sedap.



    Baru je mulakan perjalanan sampai ke satu selekoh dah nampak kereta berderet-deret di depan.  Aduh... traffic jammed.  Ingatkan sekejap je.. tapi dah melarat  hingga ke lewat petang.  Memang kami tersalah langkah.  Rupanya ramai yang bercuti ke sana juga.  Tiada  pilihan lain kenalah mengikut arus kenderaan yang bersesak berkilo-kilo meter jauhnya. Ada yang sakit perut hmm..terpaksalah bertahan je..Nak buat macam mana.  Apalah yang ada sepanjang jalan tu nak cari tandas ke kedai ke apa pun takde.

   Makin parah bila petang dah beransur malam.  Rasanya dah berjam-jam dalam perjalanan tapi baru je sampai di Tringkap. Berhenti sekejap di sini ambik kesempatan beritahu tuan punya homestay yang kami masih tersangkut lagi  dalam kesesakan. Nak jadi cerita tuan tanah kedaung tu dah tak nak menunggu lagi. Ada orang lain yang masuk terus dia terima je...  Sampai di Brincang pukul 8.30 malam.  Jalan semakin sesak.  Ada yang sanggup meredah lawan arus.  Bising bunyi hon sana sini.  Geram betul dengan sikap pemandu yang tak bertimbangrasa.   Dah la memotong di sebelah kiri ikut lorong  kecemasan main masuk je.  Yang berani potong kiu bila bertembung dengan kereta dari arah depan mula gabra terus nak menghimpit masuk.  Kena pulak dengan yang degil tak nak beri laluan tu la yang buat sangkut lebih lama lagi.
Pasar malam yang menyebabkan laluan bertambah sesak


Kebetulan hari tu ada pasar malam bertambahlah sesak hingga tak boleh bergerak.  Pemilik kereta selamba je tingalkan kereta mereka di tepi-tepi jalan yang sempit.  Lebih teruk main order je melalui tingkap kereta. Lori-lori kecil peniaga pasar malam pun sama suka suki meletakkan kenderaan menghalang laluan.  Kenapalah takde penguatkuasa yang memantau kawasan ni.  Laluan alternatif takde. Nak ke mana pun inilah jalannya nan satu.  Kami berhenti lagi di stesen  minyak pekan Brincang.  Kereta bersusun-susun masuk mengalahkan R&R.
Stesen minyak macam R&R

Puas pusing-pusing kontek sana sini semua penginapan fullybooked laris macam goreng pisang panas.  Ada beberapa orang jugalah yang nak membantu tapi  harga tak masuk akal.  Maklumlah hari dah jauh malam dia fikir kita ni desperate sangat la.  Penginapan yang mewah mewah tu  tak berani  nak  tanya.  Tak sanggup nak bayar mahal semata-mata untuk nak releks beberapa jam je.
Akhirnya seorang pekerja hotel yang kesian tengok kami rekomen  menginap di Heritage Apartment masih ada yang kosong.  Alhamdulillah....   Selesai satu perkara.     

       
Masalah nak cari makan pulak..  Kebanyakan gerai/kedai makan tutup awal.  Food court tutup kul 11 malam.  Tuan punya kedai buat lawak. Dia tunjuk ke arah lampu yang tergantung di tengah-tengah food court itu.  Katanya itulah jam dia.  Kalau lampu itu padam tandanya kedai dah tutup.  Siap buat lawak macam dalam cerita P.Ramlee.  Walhal ramai lagi peniaga lain sibuk melayan pelanggan yang datang nak makan.   Hmmm...macam macam.

Ronda-ronda dari Tanah Rata ke Brincang dua tiga kali pusing.  Perut dah mencerut ditambah pulak dengan udara yang sejuk bangat. Mesti nak pekena yang panas panas  macam sup ke tom yam ke.  Nampakmya memang masalah besar.  Last singgah restoran mamak.  Suasana kecoh sikit sebab ramai orang.  Dah pukul 12 malam makan je apa yang ada.  Awal-awal lagi tuan punya apartmen tu pesan kalau makan kat sini kena hati-hati takut kena sembelih.  Memang kena sembelih pun.....  Tambah lagi di musim cuti perayaan dan cuti sekolah ramai orang dari luar yang datang.
Selepas makan kami pun meredah malam yang kian larut balik ke tempat penginapan.  Fuhhh...sejukkkk....

Sambung di N3 lain.....



Sabtu, 20 Oktober 2012

Balik kampung....

        Ujung minggu ni tak tau nak buat apa.  Fikir punya fikir buat keputusan nak balik kampung bersihkan laman rumah ayahanda bonda. Benda macam ni bukan boleh dirancang.  Tup tup dah ada hal lain tak jadi pulak.  Awal pagi lagi dah bersiap.  Makanan... nasi lemak lauk sambal ikan sardin dan telur adik yang sediakan.  Saya sediakan nasi putih, ayam goreng dan udang berempah.  Simple je.... janji ada sambal dan ulam-ulaman.  Sekor ikan jelawat besar yang kakak beri semalam pun  dibawak juga untuk dipanggang siap dengan bahan sambal cicah.  Hmm apa  lagi... jom.

Baby tengah bergolek atas rumput tu.....

Baby pun ikut sama.  Seronok dia bergolek atas tanah dan rumput.  Semua benda diusik.  Ayam dikejarnya, rerama yang terbang hendak ditangkap.  Daun dan ranting kayu yang dah disusun  habis berselerak dikerjakannya.  Paling kelakar  bila dia mengintip sepasang itik angsa  yang jalan terkedek-kedek kat situ. Dia nampak macam pelik sangat.  Tak pernah tengok itik angsa.  Dah tu terus menyorok dalam semak.  Hehehe... baby, baby....

Baby kat bawah arrow kuning tu. Tak boleh nak closeup sebab itik tu asyik nak menyerang je... takuttt

Baby skodeng...


kerja kerja!....di hujung tu  Sungai Perak.  Pokok-pokok liar dah banyak tumbuh menghalang pemandangan






Pemandangan sebelah kanan rumah...  









Lorong turun ke Sungai Perak
       Ini jalan menghala ke Sungai Perak.  Pokok teh yang ditanam dikiri kanan laluan membentuk seperti  terowong.  Kalau ditrim selalu pokok ni  memang nampak cantik.  Dulu kat sinilah tempat yang paling disukai.  Rehat-rehat di laman rumah sambil menikmati pemandangan Sungai Perak.  Musim air sungai surut ramai kanak-kanak turun mandi di sungai.   Yang teringin nak makan siput sedut turunlah ke sungai mengutip boleh dapat berkilo-kilo.  Sayang ia dah tak semeriah dulu.  Maklum saja  yang kanak-kanak dah dewasa, yang muda beransur tua, yang tua dah uzur dan ada juga yang dah pergi buat selamanya....  Begitulah peredaran masa.  
      Walaupun  rumah ini bukanlah rumah yang didiami sejak kecil tapi ia penuh dengan peristiwa suka dukanya. Selepas ayahanda pencen baru keluarga berpindah di sini.  Masa itu saya pun tak dapat bersama mereka sebab merantau nun jauh di ibu kota. chewah!!  Jauh la sangat.  Tapi pantang je ada peluang memang terus cabut balik kampung.  Kelakarnya ada je alasan nak panjangkan cuti nak dok lama di kampung.
       






     Akhirnya siap jugak kerja-kerja dalam operasi kali ni.  Bila tengok balik hasilnya rasa seronok dan teruja nak bersihkan bahagian-bahagian lain pulak dalam operasi akan datang.  Insya-Allah....

Ahad, 14 Oktober 2012

Menyelusuri kenangan di Lenggong...

     Memang teruja sangat nak tengok tempat yang bernama Lenggong di mana kami pernah tinggal di sana suatu ketika dulu.  Hari Sabtu kebetulan tidak ada apa-apa rancangan lain.  Pagi-pagi lagi kami bertolak sebab bercadang nak bersarapan di sana.  Perjalanan memang seronok di waktu pagi dengan cuaca yang dingin.   Sebagaimana yang saya pernah sebut dalam n3 yang lalu saya amat terpesona dengan pemandangan sepanjang jalan ke Lenggong.  Pemandangan sangat menarik dengan gunung ganang, bukit bukau, hutan dan tasik yang mengembalikan kita ke alam semula jadi (back to nature).  Entahlah kenapa hati saya sering terpukau dengan landskap yang sebegini.  Kalau tak silap saya banjaran disebelah kiri jalan Kuala Kangsar ke Lenggong itu ialah Banjaran Gunung Bintang dan sebelah kanan pula Banjaran Gunung Titiwangsa.
     Saya merasa sedikit terkilan sebab gambar-gambar yang saya ambil bagi merakamkan keindahan gunung ganang ini tidak menjadi.  

Pekan Lenggong berlatarbelakangkan gunung yang indah
Pekan Lenggong.  Inilah laluan saya tempuh setiap hari berjalan
kaki pergi balik ke sekolah
        Selepas  bersarapan di salah sebuah restoran di situ kami ronda-ronda di pasar minggu.  Memang meriah di sini sebab pasar mingguannya di adakan di kiri dan kanan jalan bahagian belakang pekan Lenggong.  Pasar di sebelah stesen bas dikhaskan bagi barang-barang basah seperti  ikan dan sayur-sayuran. Manakala di seberang jalan menjual pakaian, kasut, makanan dan lain-lain.  Macam-macam ada di jual di sini.

Di belakang tu stesen bas Lenggong.  Bas merah kuning milik Sy. Red and Yellow Omnibus
Pejabat Pos Lenggong





       Semasa bersekolah dulu jika sampai di  Pejabat Pos Lenggong ini bermakna baru separuh jalan ke sekolah.  Rumah kami terletak di Kampung Sekolah Perempuan betul-betul di hujung pekan Lenggong.  Selepas pejabat pos ini jauh ke depan lagi ialah Balai Polis Lenggong, SRJK Bukit Balai,  kuaters kerajaan, pejabat bomba, rumah rehat, menurun bukit sikit berdepan dengan sebuah jirat Cina tu lah sekolah saya.   Saya lebih suka ke sekolah dengan berjalan kaki je.  Kalau hari hujan tu terpaksa jugalah minta tolong ayahanda hantarkan.  
       Pada suatu ketika saya ada seorang  kawan nama Naemah Abdul Manaf berasal dari Chepor.  Dia pergi ke sekolah naik basikal. Oleh kerana saya suka berjalan kaki dia pun nak ikut sama.  Dia menyimpan basikal di rumah saya dan kami sama-sama menapak ke sekolah.   Habis kelas kami ke perpustakaan dan dah tentu menyinggah lepas satu ke satu kedai.  Habis tu mesti pekena ABC dekat stesen bas tu.  Bila habis je peperiksaan tingkatan tiga saya dah tidak berjumpa dia lagi.
        Pernah semasa saya seorang diri ke sekolah, waktu tu dah lewat sangat,  sebuah kereta berhenti di depan pejabat pos ni.  Tengok-tengok rupanya salah seorang cikgu yang mengajar di sekolah saya yang juga merupakan jiran sebelah rumah kami - Cikgu Dato' Hj. Meor Aris.  Kantoi... masa tu dah pun pukul 8 lebih.  Punyalah malu tapi nak tak nak terpaksa naik jugalah kereta beliau.  Kalau tak silap saya masa tu keretanya Ford Aglia berwarna biru.   Saya dapat tahu beliau telahpun kembali ke rahmatullah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.
         Kesempatan yang ada kami ambil peluang meninjau rumah-rumah yang saya pernah tinggal dulu.  Saya sebut rumah-rumah kerana ada banyak rumah yang saya dan keluarga menyewa di sini. Rumah yang pertama adalah kepunyaan seorang guru bernama Cikgu Nik.  Selepas itu kami berpindah menyewa sebuah rumah yang agak antik kepunyaan seorang yang bernama sama dengan ayahanda saya.  Rumah ini dibina dengan seni ukiran kayu melayu lama pada kekisi di beranda dan ukiran yang cantik di sekiling bumbung rumah.  Sayang sekali rumah ini sudah roboh kerana tiada sesiapa yang mengambilalih selepas tuan punya meninggal.  Kalau masih wujud lagi tentu rumah ini tinggi nilainya.  Ia terletak di belakang deretan kedai berdekatan simpang ke masjid.  Dulu kalau nak beli makanan pun mudah. Sebuah restoran yang saya masih ingat seorang pekerjanya bernama Mahmud berketurunan India Muslim hanya lima enam meter je dari tangga beranda. Hujung minggu pulak ada jualan pasar minggu betul-betul di depan laman rumah.  Kedai Pak Lasah dan apek menjual barangan runcit.  Pendek kata (macam si Labu cakap dalam filim Labu dan Labi) serba serbi mudah.
        Sahabat-sahabat bonda di kawasan rumah lama pun sering singgah ke rumah sebab bukanlah jauh sangat dengan rumah yang sebelumnya. Lagipun sambil-sambil membeli barangan di kedai singgah bertanya khabar.  Jiran sekeliling best sangat.  Kadang-kadang berborak dengan mereka hingga jauh malam berteman kopi dan sedikit kudapan. Apalagi kalau cerita-cerita hantu yang menjadi topik sembang. Di bulan puasa paling meriah masing-masing bertukar-tukar juadah. Sampai lima enam jenis tak habis dimakan.  Jiran-jiran sepakat bergotong-royong membuat dodol dan membakar lemang di laman rumah.  Di hari Asyura pulak berkumpul di rumah kami buat bubur   Pendek kata (...lagi) semangat kejiranan semasa dulu memang utuh tidak seperti pada masa kini yang semakin tawar dan longgar
         Keluarga kami tak tinggal lama di sini sebab berpindah lagi.  Tapi saya terpaksa tinggal di rumah ini bersama dengan kakak yang baru habis latihan di MPPM Melaka  kebetulan dapat posting mengajar di Sekolah Rendah Temelong daerah Lenggong.  Pada masa itu saya sudahpun mendaftar untuk tinggal di asrama kerana tidak dapat mengikut keluarga disebabkan dah hampir dengan tarikh peperiksaan. Oleh sebab rumah itu agak besar dan tidak  sesuai untuk kami yang tinggal berdua, kakak saya menyewa pula sebuah rumah yang berdekatan milik Encik Embun.  Selepas hampir setahun kakak saya pulak bertukar mengajar di sekolah lain  di daerah  Kuala Kangsar.  Tinggallah saya menyewa bilik dengan kawan-kawan di sebuah rumah di Kampung Sira dan kemudian berpindah lagi ke rumah lain di Bukit Senyum. Huh... boleh tahan panjangnya cerita berpindah randah ni.
          Ini gambar rumah pertama yang kami sekeluarga tinggal apabila mula-mula berpindah ke Lenggong terletak di Kampung Sekolah Perempuan. Terkejut juga saya tengok rumah ini masih kekal dan utuh seperti dulu walaupun dah berpuluh-puluh tahun dan keseluruhan strukturnya adalah daripada kayu.  Dan paling memeranjatkan pokok besar tempat kami lepak-lepak di depan rumah masih wujud lagi di situ!
Rumah sewa kami yang di tengah.
      Di belakang rumah ini ialah banjaran gunung yang waktu paginya berkabus.  Waktu itu sekitar penghujung tahun 60an di bahagian belakang rumah hanyalah sawah padi yang luas hingga mencecah ke kaki gunung.  Pokok-pokok yang nampak dalam gambar masa tu tidak ada.  Jadi pemandangan sawah  padi dan gunung tidak menghalang pemandangan  yang sangat-sangat indah.  Di bawah gunung tu pulak air terjun tempat berkelah. Airnya sejuk dan jernih.  Pesawah-pesawah hanya mengalirkan air dari gunung ini ke sawah mereka dengan membina parit ataupun tali air atau palong.  Di gunung ini juga tempat penduduk-penduduk di sini  mencari rotan.   Dan kalau ada rezeki membawa pulang seekor dua pelanduk hutan. Di kawasan ini juga ada beberapa buah rumah dan salah satunya milik keluarga Zamri.  Kini semuanya sudah berubah.  Suasana yang tenang damai diganti deruan kenderaan yang membelah kawasan sawah padi hasil dari pembinaan lebuhraya ke Gerik hingga ke Baling dan Kelantan.
Rumah Pak Haji Mahmud tempat belajar al-Quran

Di bawah rumah Mak Teh ini dulu ada lesung kaki tempat menumbuk beras
 dan kacang dijadikan tepung untuk buat kuih
       Sempat juga kami menjenguk Mak Teh jiran sekampung yang juga kawan baik arwah bonda saya.  Daripada cerita Mak Teh ramai jiran-jiran di situ yang sudah tiada.  Saya terimbau sejenak kenangan semasa tinggal di situ. Walaupun  keluarga kami dianggap sebagai 'orang luar' dan 'diuji' oleh sesetengah penduduk di situ pada mulanya tetapi setelah beberapa lama mereka menjadi sangat akrab malah hubungan seperti saudara mara sendiri.  Mungkinlah pada masa itu kami kurang faham dengan pertuturan mereka kerana dialek mereka yang berlainan.  Hinggakan pada hari pertama saya menjejakkan kaki di sekolah baru itu menjadi terpinga-pinga dan amat terasing.  Tak kenal  maka tak cinta.  Penduduk di situ adalah sahabat-sahabat baik ayahanda dan bonda.  Ramai daripada mereka sudah kembali menemui penciptaNya.  Pak Hj Mahmud dan isteri, Pakcik Basar dan isteri, Kak Endon dan suami, Pak Husin botak peniaga sayur,  Pakcik Harun, Kak Nab dan suami, dan ramai lagi yang sudah tiada.  Semoga roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah s.w.t.

Sungai tempat mandi-mandi yang luas dan jernih kini parit sempit yang terpinggir


Mak Teh di pintu dapurnya.  Laman rumahnya tempat main konda kondi
      Kami berjanji dengan Mak Teh sekiranya ada umur dan rezeki diizinkan Allah akan kembali menjenguknya, satu-satunya warga lama yang  kami dapat menyambung silaturahim. Insya-Allah saya akan terus bercerita mengenai Lenggong yang amat mesra dalam ingatan saya.....

Sabtu, 13 Oktober 2012

Baby Tak Sihat...


Sudah 4 - 5 hari Baby (kucing la..) tidak sihat, murung dan.asyik bergulung je.  Masalahnya dia tak nak makan dan minum...risau dibuatnya. Sebelum ni lagi teruk air liur yg keluar pekat bertali, berwarna kuning dan  bau busuk.  Dah bawak pergi vet. Masa ambil suhu badan katanya 39 c. Maknanya memang dia demam. Suhu normal badan kucing ialah 37.7 hingga 39 c (100 - 102 f)  Ubat yg diberi ada tiga jenis, antibiotik, sejenis ubat seperti kristal, katanya  untuk menghilangkan kesan keracunan dan vitamin. Nak bagi makan ubat memang masalah betul sebab dalam bentuk tablet.  Kenalah hancurkan dulu dan campur sedikit air. Masa nak bukakan mulutnya..aduh..seksa. Busuknya kus semangat satu rumah abis berbau.

 Muka dah cengkung..air liur pulak meleleh...
        Ada juga terbaca tentang penyakit kucing mulut busuk ni berpunca daripada makanan yg mengandungi racun atau berbisa.. Baby ini memang suka sangat bermain dgn serangga yg terbang.  Kalau jumpa lipas lagi la dia suka dibuat main.. Tak taulah kalau dia termakan pulak.  Lebih teruk kalau serangga jenis bersengat bisa...
                                                    Ubat-ubat yang diberi oleh vet
        Kata org kalau kucing ni ada masalah cuba urut kat tulang belakangnya. Memang betul selepas beberapa kali diurut dia menunjukkan respon. Nampak dia mengangkat-angkat kepala dan ekornya. Ada la perubahan sikit tapi masih lagi tak makan atau minum.  Takde selera agaknya.  Air kencingnya pulak berwarna kuning mungkin kerana panas dlm badan ataupun kesan ubat tu. Bahaya kalau takde air dlm badan. Nak tak nak terpaksa diberi susu dan air melalui syringe.
               



            Baby memang suka tengok bola kat tv.  Kalau org tengok bola mesti dia nak tgk sama. Peliknya tengah sakit pun boleh tengok bola!  Gambar di atas dan di bawah ini diambil semasa dia sakit la ni.





Ini gambar lama masa dia sihat dulu.Barang-barang kat tepi tv tu                                           dia la yg bawak main kat situ.

Yang ni pulak gambar dia beberapa hari sebelum sakit.Kantoi terjumpa tido dlm beg




Hobinya tido terlentang


                

Baby, baby cepat la ko sihat......
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...