Tanda arrow tu la Mrs Ng Kam Wah.... |
Semasa kelas cookery kami ditetapkan berdua ataupun bertiga bila membuat sesuatu tugasan. Masih ingat lagi satu hari tu resepinya jem nenas. Kawan saya ditugaskan memotong kulit dan mata pada nenas tu tapi kerana tak pernah pun buat semua kerja ni kat rumah habis lunyai nenas tu di tangannya. Apalagi siaplah dengar jeritan cikgu. Sampai sekarang bila saya nak memotong nenas mesti teringat peristiwa ini. Saya pulak ketika nak buat banana fritters bancuhan untuk salut pisang tu terlalu cair. Saya didenda untuk bayar balik harga tepung sebanyak 5 sen.. Hehehe...geli hati betul. Kali kedua pun tak menjadi juga...denda lagi. Kali ketiga sebab rasa sangat tertekan akhirnya bancuhan batter tu dah jadi semacam.. Boleh bayangkan macam mana muka cikgu masa tu.. huiiiii...
Pada masa itu disebabkan kemudahan peralatan dan tenaga pengajar agak kurang kami ditempatkan di sekolah Kampung Sira yang terletak di belakang pekan Lenggong pada sesi petang. Bagi kelas Home Science yang dikhaskan untuk pelajar perempuan dan Industrial Arts untuk pelajar lelaki kami terpaksa berjalan kaki ke bangunan utama SMDA yang memang agak jauh juga. Ia memakan masa dalam dua puluh minit ke setengah jam jugalah. Untuk memendekkan masa perjalanan kami berjalan mengikut jalan pintas di belakang sekolah menempuh kawasan ternakan khinzir, taman bunga, bangunan kuaters kerajaan, SRJK Bukit Balai, balai bomba, asrama dan naik bukit bangunan utama SMDA. Kami terpaksa berjalan pantas dan berlari-lari untuk sampai cepat ke sana.
Pernah kami tiba lewat disebabkan hari hujan. Masing-masing basah kuyup kerana berkongsi payung. Dari jauh dah nampak cikgu berdiri tercegat di depan pintu dengan pembaris panjang. Bertambah malang dalam keadaan kelam kabut meninggalkan kelas kami tertinggal peralatan untuk subjek ni. Akhirnya kami tidak dibenarkan mengikuti kelas bersama pelajar yang sudah sampai lebih awal. Duduklah di luar hingga separuh masa baru dibenarkan masuk. Yang peliknya group ini jugalah yang selalunya buat hal.
Untuk mengelakkan kejadian seperti ini berlaku jadual selalu je dirombak bagi penyesuaian. Seingat saya kemudiannya kelas Home Science ini diaturkan selepas waktu rehat dalam dua period. Jadi sebaik je waktu rehat kami sudah boleh pergi ke bangunan utama SMDA dan selepas habis kelas boleh balik terus ke rumah.
Dalam perjalanan ke sana tu macam-macamlah insiden berlaku. Penternak khinzir selalu ketawakan kami sebab mengejek dia bau busuk. Ada pulak kawan yang bawak kamera sempat juga kami berposing di tepi taman bunga bersebelahan dengan bangunan kuarters kerajaan. Bila hari hujan tentulah bermasalah lagi. Macam yang saya ceritakan kalau lewat taulah akibatnya. Setiap kali kami dibawa berjumpa HM kebetulan masa tu HM sibuk. Terlepas... Semua ini kami harungi sehinggalah berpindah ke bangunan utama SMDA.
Bila berpindah ke bangunan utama SMDA pun group kami ini masih buat hal dalam kelas. Rakan-rakan yang masih saya ingat nama antaranya Joharabee ketua kelas, Rohani Hasan, Junaidah Osman, Mimi dan dua tiga orang lagi . Kami ni memasak memang dah tau sangatlah.. apa lagi bila kelas needlework. Kalau buat jahitan embroidery nak ambik jalan mudah saja. Tengok jahitan di bahagian depan kira ok. Tapi di bahagian belakang berserabut macam benang kusut. Mata cikgu memang tajam nampak je kesalahan yang dibuat. Pantang sekali dia ternampak jahitan yang bermula dan dimatikan dengan knot. Jari-jari ni siaplah letak atas meja untuk diketuk. Perkataan yang muncul dari mulut cikgu dan memang sentiasa disebut tak ada lain..unpick, unpick, unpick.
Suaranya yang nyaring tu kadang-kadang terdengar hingga ke bilik pelajar lelaki yang mengambil subjek Industrial Arts. Bila masuk balik ke kelas sedap la dengar pelajar-pelajar lelaki menghentam dan mentertawakan kami yang kena marah oleh cikgu.
Apapun ilmu yang diberikan, yang dimarah dan disuruh buat sampai betul oleh cikgu adalah pengetahuan asas bagi pelajar-pelajar perempuan yang amat berguna. Subjek ini bukan saja menekankan elemen memasak dan menjahit tetapi merangkumi first aid, home nursing, housecraft, dan childcare. Sampaikan kerja-kerja waxing lantai pun kena buat... Kami buat latihan di bilik asrama puteri. Semua kerja dibuat secara manual. Sesuai sangatlah dengan zamannya....old skool la katakan.
Sekadar mengenang kisah-kisah silam di alam persekolahan yang walapun berpuluh tahun berlalu tapi tetap menjadi kenangan manis. Dengan bantuan cikgu akhirnya dapat juga saya siapkan sehelai pyjamas, child frock dan short yang saya rasa sangat seksa untuk menyudahkannya sebagai bahan tugasan peperiksaan.
Kepada cikgu saya Mrs Ng Kam Wah, terima kasih diucapkan...jasamu tetap dikenang. Semoga dikurniakan kesihatan yang baik dan berbahagia di samping keluarga tercinta.