Nak makan mi rebus, mi goreng, roti canai, nasi lemak... di mana pun memang mudah nak cari. Tak kiralah di restoran atau gerai atau dimana saja orang berjualan mesti ada hidangan ini. Terpulanglah nak pilih di mana yang sesuai dengan selera masing-masing.
Pilihan kali ni bersarapan di pekan Karai. Pekan kecil ini terletak dalam daerah Kuala Kangsar. Dari bandar Kuala Kangsar menghala ke Ipoh anda akan melalui Jambatan Iskandar dan tidak berapa jauh dari situ terdapat simpang disebelah kiri jalan yang mempunyai tanda arah ke Karai. Anda akan melalui jalan dua hala yang agak sempit hinggalah tiba ke penghujung jalan di mana terletaknya pekan ini.
Makanan di sini biasa-biasa je... Tapi apa yang menariknya ialah suasana yang melatari pekan kecil ini. Singgahlah di gerai makan di pinggir pekan ini dan alamilah suasana yang tenang dan damai. Sambil menghirup kopi dan menikmati sepinggan mi rebus atau sebungkus nasi lemak rasanya seperti kita kembali ke tahun-tahun lampau.
Kedai Getah...Pekedai menjemur getah buku yang memberi aroma sekitar tahun 60an...
Dari celah kekaca tingkap kedai ternampak lelaki ini penuh ceria mengayuh basikalnya.. Walaupun mungkin dia tak mampu lagi berkayuh cara biasa namun dia ada caranya sendiri untuk ronda-ronda di pekan ini.
Kusingkap kenangan dulu..sewaktu....
Sudah pasti gerai-gerai kopi ini menjadi tempat singgahan mereka untuk melepaskan lelah dan membasahkan tekak. Dan rasanya lebih daripada itu rindu bertemu teman-teman sebaya bertanya khabar dan mengimbau kenangan lalu tanpa diganggu kesibukan seperti di pekan atau di bandar lain yang mencabar keupayaan mereka. Mungkin suasana begini yang memberanikan mereka keluar ke pekan samada berteman ataupun bersendirian.
Pekan ini tidak ada banyak perubahan sejak pertama kali saya ke sini berpuluh tahun yang lalu. Deretan kedai-kedai lama masih kekal di tapaknya. Walaupun bangunan-bangunan sudah dibaiki dan dicat baru tapi masih ada yang mengekalkan ciri-ciri asalnya.
Sebuah surau di tengah pekan Karai
Sebuah peninggalan sejarah di sini iaitu Jambatan Victoria (Victoria Bridge) mengingatkan kita bahawa pekan ini sudah wujud dari zaman pemerintahan British lagi. Mengikut sejarahnya jambatan keretapi ini dibina pada tahun 1897 dan hanya siap pada tahun 1900. Pembinaan jambatan ini mengambil masa yang agak lama disebabkan banjir. Namun dengan daya usaha jurutera yang terlibat pada waktu itu, G.W.Fryer dan C.R Hanson ia dapat disiapkan dan dibuka dengan rasminya oleh Sultan Perak, Sultan Idris Mursidul Azam Shah dan Sir Frank Swettenham, Residen Jeneral Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada waktu itu.
Sehingga ke hari ini jambatan keretapi ini masih kukuh merentangi Sungai Perak yang mengalir tenang dibawahnya. Jambatan ini merupakan jambatan keretapi tertua dan menjadi saksi pelbagai peristiwa kerakusan 'orang luar' yang tamak dengan hasil perut bumi negara ini iaitu hasilan bijih timah. Dengan wujudnya jambatan keretapi ini telah membuka jalan kepada pertumbuhan bandar-bandar bijih timah di seluruh Semenanjung Tanah Melayu pada masa itu. Tentera British pernah meletupkan jambatan ini semasa Perang Dunia Kedua bagi menghalang kemaraan tentera Jepun dan membina kubu di sekitar kawasan ini. Mungkin hanya segelintir penduduk di sini yang masih mengingati sejarahnya berdasarkan daripada cerita-cerita datuk nenek mereka dahulu.
Saya masih ingat pada suatu ketika dulu saya pernah melalui laluan yang dibina disisi jambatan ini untuk menyeberang ke kampung di sebelah sana. Kebetulan apabila sampai di tengah-tengah jambatan kereta api pun sampai. Huiii... jambatan bergoyang dan saya rasa macam nak melayang jatuh ke dalam sungai. Kaki terus kaku tak boleh melangkah hinggalah keretapi berlalu. Pandang ke bawah nun sayup jer air sungai...
Pengalaman itu memang sukar nak dilupakan, Kini jambatan gantung itu telah dibina lebih kukuh lagi bagi penunggang-penunggang motosikal berulang alik dari kampung-kampung seberang seperti Kampung Jamuan ke Pekan Karai. Pemandangan yang cantik dan bahan sejarah di sini menarik minat ramai pasangan pengantin baru memilih lokasi ini sebagai latarbelakang photoshoot perkahwinan mereka. Dan sebagaimana yang diketahui Pengarah Mamat Khalid juga pernah memilih tempat ini sebagai lokasi filem Zombi Kampung Pisang,
Hmmm.. leka dibuatnya bila berada di sini. Dari cerita secawan kopi terus hanyut ke zaman silam. Lebih-lebih lagi jika minum kopi bertemankan kuih kundas. Kalau ada yang terkecur air liur tu maaflah ya... kuih ini rasanya memang sukar di cari di tempat lain. Kalau nak rasa datanglah ke Karai....
dekat sini juga filem 29 februari di lakonkan kan....
BalasPadamTK atas info anda...jemput bertandang selalu ya...
BalasPadamthanks ..sgt mbntu utk tesis :) harap bleh bgkongsi...
BalasPadamKg kelahiran Ku...terubat rindu bila membaca kisah awak seharian do pekan karai...
BalasPadam