Ahad, 17 Mac 2013

Aduhai Teluk Senangin....

Teluk Senangin... Oleh sebab tak bersedia dari awal mencari tempat ni memang naik hangin dibuatnya.   Masuk jalan ini tak betul, ikut jalan sana pun salah. Peliknya tak banyak papan tanda yang menunjuk arah ke tempat ini.  Rasanya ini menyukarkan bagi yang pertama kali datang ke sini.
 Jambatan RP Bainun yang merentangai Sungai Dinding. Di bawah jambatan ini adalah
port kegemaran kaki pancing 
 
 Akhirnya kami berhenti disebuah gerai makan yang nampaknya seperti belum bersedia nak buka perniagaannya lagi.  Baru je nak beri salam pemilik gerai itu seorang wanita dan anak perempuannya menjerit-jerit berlari dengan kayu dan penyapu..  Terperanjat saya... rupaya beberapa ekor monyet sedang melarikan telur yang dicuri dari bahagian dapurnya.  Hehehe.. mereka ni selalu datang mencuri makanan kalau tak ada orang yang mengawasi, kata pemilik gerai tu.  Dialah yang menunjukkan arah nak ke tempat ini.  Jenuh jugalah mencari baru terjumpa simpang ke jalan ni.

Pintu masuk ke kawasan pantai
Jalan masuk ke tempat ini menempuh kawasan ladang kelapa sawit di kiri kanan jalan.  Tak banyak kenderaan yang lalu di jalan ni.  Kalau di hujung minggu pun sepi macam ni bayangkanlah berapa kenderaan yang melalui tempat ini pada hari-hari biasa. Keadaan jalan pun berlubang dan tidak berapa rata.  Kita takkan menyangka bahawa di hujung jalan ini ada satu tempat bersantai di tepi laut yang agak menarik jugalah.  Boleh dikatakan tempat ini masih belum dimajukan sepenuhnya bagi tujuan pelancongan.  

 

  Kebanyakan chalet di sini diusahakan sendiri oleh tuan-tuan tanah yang berhampiran dengan kawasan pantai.  Selepas mencari-cari mana satu yang menarik kami singgah di sebuah kedai makan.  Rupanya tauke kedai ini tuanpunya chalet yang berderet di situ.  Kami dipelawa melihat keadaan kawasan chalet miliknya.  Kawasan pantai disitu hanya dibenarkan bagi penyewa chaletnya sahaja.  Nampaknya ada keselamatan dan kebersihan pun agak terjamin.  Menurutnya chalet-chalet miliknya memang tidak pernah kosong apa lagi di hujung minggu atau cuti umum.  Kalau bercadang untuk bermalam lebih baik menempah awal.


Pokok-pokok rhu yang di tanam memagari kawasan ini memberi pemandangan yang menarik dan sedikit keredupan. Kawasan sekelilingnya juga agak bersih berbanding kawasan-kawasan yang lain.


Lihatlah kawasan pantainya lebih luas dan landai.  Kalau menginap di sini tidaklah perlu berjalan jauh untuk ke pantai kerana chalet ini terletak betul-betul di kawasan pantai.

Seterusnya kami ronda-ronda di kawasan sekitar meninjau rumah-rumah penginapan  di kawasan yang agak lebih jauh ke dalam sedikit.  Rata-rata rumah penginapan di sini tak menahan kosnya kalau dibandingkan dengan kemudahan-kemudahan yang ada di sini.
     Di perhatikan tidak ada sebuah pun kedai bagi barang-barang keperluan harian.  Sekiranya nak bermalam di sini kenalah bersedia membawa barang-barang keperluan peribadi.  Kami mendapat tahu peniaga-peniaga makanan pun hanya berjualan sewaktu hujung minggu dan dan cuti umum sahaja,  Pekerjaan utama penduduk-penduduk disini ialah nelayan.  Bagi mereka yang mempunyai tanah yang luas dan berhampiran dengan pantai lebih ke arah mengusahakan chalet-chalet.


 

Pemandangan di pantai ini memang indah. Sayang tempat ini kurang di promosikan.  Di kejauhan terbentang Pulau Pangkor sebuah lagi destinasi percutian yang menarik di negeri Perak.
   
Lepas mandi baru terasa gatal-gatal pada badan...hehehe..
    
Namun di sebalik keindahan pantai yang terbentang luas itu ada sesuatu yang mencacatkan pemandangan.  Hati benar-benar kecewa dengan sikap pengunjung-pengunjung yang meninggalkan sampah sarap selepas digunakan dan dibiar berserakan di pesisir pantai.  Inilah bukti rendahnya kesedaran sivik di kalangan masyarakat kita...
Bau sisa makanan yang berselerak di celah-celah semak dan pangkal pokok ini memang tidak  senang dibuatnya untuk duduk bersantai lama di situ. Nampaknya pihak yang berkenaan kenalah pantau hal ini.  Jika perkara ini dibiarkan berterusan kesudahannya tempat yang menarik ini akan hanya tinggal kenangan sajalah. 

Jumaat, 1 Mac 2013

Sehari di pekan Karai...



Nak makan mi rebus, mi goreng, roti canai, nasi lemak... di mana pun memang mudah nak cari.  Tak kiralah di restoran atau gerai atau dimana saja orang berjualan mesti ada hidangan ini.  Terpulanglah nak pilih di  mana yang sesuai dengan selera masing-masing.

    Pilihan kali ni bersarapan di pekan Karai. Pekan kecil ini terletak dalam daerah Kuala Kangsar. Dari bandar Kuala Kangsar menghala ke Ipoh anda akan melalui Jambatan Iskandar dan tidak berapa jauh dari situ terdapat simpang disebelah kiri jalan yang mempunyai tanda arah ke Karai.  Anda akan melalui jalan dua hala yang agak sempit hinggalah tiba ke penghujung jalan di mana terletaknya pekan ini.


     Makanan di sini biasa-biasa je...  Tapi apa yang menariknya ialah suasana yang melatari pekan kecil ini. Singgahlah di gerai makan di pinggir pekan ini dan alamilah suasana yang tenang dan damai.  Sambil menghirup kopi dan menikmati sepinggan mi rebus atau sebungkus nasi lemak rasanya seperti kita kembali ke tahun-tahun lampau.
 
 Kedai Getah...Pekedai menjemur getah buku yang memberi aroma sekitar tahun 60an...

     Perhatikan di pekan ini masih ramai warga lama yang keluar membeli keperluan mereka di sini.  Mereka masih mampu mengayuh basikal ataupun bermotosikal walaupun tidak segagah zaman muda mereka dulu.
Dari celah kekaca tingkap kedai ternampak lelaki ini penuh ceria mengayuh basikalnya..  Walaupun mungkin dia tak mampu lagi berkayuh cara biasa namun dia ada caranya sendiri untuk ronda-ronda di pekan ini.



Kusingkap kenangan dulu..sewaktu....

Sudah pasti gerai-gerai kopi ini menjadi tempat singgahan mereka untuk melepaskan lelah dan membasahkan tekak. Dan rasanya lebih daripada itu rindu bertemu teman-teman sebaya  bertanya khabar dan mengimbau kenangan lalu tanpa diganggu kesibukan seperti di pekan atau di bandar lain yang mencabar keupayaan mereka.  Mungkin suasana begini yang memberanikan mereka keluar ke pekan samada berteman ataupun bersendirian.
      Pekan ini tidak ada banyak perubahan sejak pertama kali saya ke sini berpuluh tahun yang lalu.  Deretan kedai-kedai lama masih kekal di tapaknya.  Walaupun bangunan-bangunan sudah dibaiki dan dicat  baru tapi masih ada yang mengekalkan ciri-ciri asalnya.


 
Sebuah surau di tengah pekan Karai 

 Sebuah peninggalan sejarah di sini iaitu Jambatan Victoria (Victoria Bridge) mengingatkan kita bahawa pekan ini sudah wujud dari zaman pemerintahan British lagi.  Mengikut sejarahnya jambatan keretapi ini dibina pada tahun 1897 dan hanya siap pada tahun 1900. Pembinaan jambatan ini mengambil masa yang agak lama disebabkan banjir.  Namun dengan daya usaha jurutera yang terlibat  pada waktu itu,  G.W.Fryer dan C.R Hanson ia dapat disiapkan dan dibuka dengan rasminya oleh Sultan Perak, Sultan Idris Mursidul Azam Shah dan Sir Frank Swettenham, Residen Jeneral Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada waktu itu.
 


      Sehingga ke hari ini jambatan keretapi ini masih kukuh merentangi Sungai Perak yang mengalir tenang dibawahnya.  Jambatan ini merupakan jambatan keretapi tertua dan menjadi saksi pelbagai peristiwa kerakusan 'orang luar' yang tamak dengan hasil perut bumi negara ini iaitu hasilan bijih timah.  Dengan wujudnya jambatan keretapi ini telah membuka jalan kepada pertumbuhan bandar-bandar bijih timah di seluruh Semenanjung Tanah Melayu pada masa itu.  Tentera British pernah meletupkan jambatan ini semasa Perang Dunia Kedua bagi menghalang kemaraan tentera Jepun dan membina kubu di sekitar kawasan ini. Mungkin hanya segelintir penduduk di sini yang masih mengingati sejarahnya berdasarkan daripada cerita-cerita datuk nenek mereka dahulu.

     Saya masih ingat pada suatu ketika dulu saya pernah melalui  laluan yang dibina disisi jambatan ini untuk menyeberang ke kampung di sebelah sana. Kebetulan apabila sampai di tengah-tengah jambatan kereta api pun sampai.  Huiii...  jambatan bergoyang dan saya rasa macam nak melayang jatuh ke dalam sungai.  Kaki terus kaku tak boleh melangkah hinggalah keretapi berlalu.  Pandang ke bawah nun sayup jer air sungai...
      Pengalaman itu memang sukar nak dilupakan,  Kini jambatan gantung itu telah dibina lebih kukuh lagi bagi penunggang-penunggang motosikal berulang alik dari kampung-kampung seberang seperti Kampung Jamuan ke Pekan Karai.  Pemandangan yang cantik dan bahan sejarah di sini menarik minat ramai pasangan pengantin baru memilih lokasi ini sebagai latarbelakang photoshoot perkahwinan mereka. Dan sebagaimana yang diketahui Pengarah Mamat Khalid juga pernah memilih tempat ini sebagai lokasi filem Zombi Kampung Pisang,
    Hmmm.. leka dibuatnya bila berada di sini.  Dari cerita secawan kopi terus hanyut ke zaman silam. Lebih-lebih lagi jika minum kopi bertemankan kuih kundas.  Kalau ada yang terkecur air liur tu maaflah ya... kuih ini rasanya memang sukar di cari di tempat lain.  Kalau nak rasa datanglah ke Karai....



    Walaupun pekan ini ada keunikannya sendiri sayang ia seperti terabai.  Kalaulah ada sikit usaha memantau kebersihan dibuat sudah tentu ramai yang ingin berkunjung ke sini.
  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...