Selamat datang bulan Ramadan bulan yang penuh keberkatan. Apa jua amalan baik yang dilakukan dalam bulan ini diberi pahala iaitu balasan yang berganda oleh Allah Subhanahuwataala. Ganjaran ini tidak ada pada bulan-bulan lain. Inilah keistimewaan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam seluruh dunia. Masing-masing melipatgandakan amalan di bulan ini dengan berpuasa di siang hari, membaca dan menghayati AlQuran, melebihkan amal kebajikan dan bersedekah, melakukan sembahyang Tarawih, tahajud dan berbagai lagi amalan seperti bertasbih, berzikir dan lainnya.
Berbicara mengenai bulan Ramadan ini mengingatkan saya kembali kenangan-kenangan terindah di masa silam. Tentu saja kisah zaman kanak-kanak menjadi sesuatu yang manis untuk dikongsikan. Zaman kanak-kanak di era yang jauh berbeza dari apa yang dinikmati oleh kanak-kanak masa kini.
Waktu itu apa yang dimasak oleh emak itulah juadah yang teramat istimewa ketika berbuka puasa. Cukuplah berbuka dengan buah kurma, satu jenis kuih dan air minuman. Manakala makanan berat selepas itu nasi, satu dua jenis lauk dan sayur dah memadai. Berbeza dengan kanak-kanak sekarang yang boleh menikmati banyak pilihan. Ibu bapa memilih apa yang di ingini dan anak-anak pula punya pilihan sendiri memilih juadah di pasar-pasar Ramadan yang wujud di bulan ini di mana-mana saja. Bagi yang berkemampuan pula ibubapa memilih restoran ataupun lebih hebat berbuka puasa di hotel-hotel yang menawarkan buka puasa buffet dengan promosi yang menarik. Hidangan tentu saja banyak pilihannya dan sedap-sedap semuanya. Ganjaran ini bagi menggalakkan anak-anak berpuasa. Hmm... untung kan...
Berbalik kepada zaman dahulu kalau rasa nak minum air batu, sirap ke oren (Takde pilihan lain) kena beli air batu di kedai. Saya masih ingat semasa kami tinggal di Kati, sebuah pekan kecil di Kuala Kangsar. Rumah kami di hujung pekan, jadi pergi ke kedai hanya berjalan kaki saja. Suasana amat meriah dengan orang ramai beratur membeli air batu di kedai Mamak Sudin. Air batu ini berupa blok-blok besar dan dipotong dengan gergaji mengikut kehendak pembeli. Kemudian air batu ini akan dibungkus dengan kertas dan dibalut dengan habuk kayu sebagai bahan menahannya daripada cair. Kadang-kadang disebabkan leka singgah dari satu kedai ke satu kedai sampai ke rumah air batu tadi dah menipis.
Kedai Sudin ni betul-betul terletak di simpang tiga pekan Kati. Pada hari-hari biasa, kedainya menjadi serbuan kanak-kanak yang balik dari sekolah membeli air minuman. Dia menjual air sirap, air bandung, ais kacang (ABC) dan minuman botol. Tapi yang menjadikan dia tak menang tangan ialah jualan ais kepal. Kanak-kanak sekolah yang haus berkeliling tak sabar menunggu Mamak Sudin ni mengisar air batu. Masing-masing berhimpit-himpit menolak sampai ada yang terjatuh. Hebat penangan ais kepal Sudin ni. Air batu yang dikisar kemudiannya dibentuk seperti bola kecil dan disiram dengan air gula sirap berselang air gula merah. Inilah yang dihisap dan disedut dalam perjalanan balik sekolah ke rumah. Naik bengkaklah juga bibir dan tapak tangan menahan sejuknya.
Masa tu nak menipu dengan mak tak singgah di kedai Sudin pun nampak sangat sebab bibir dah tebal... Bapa suka bergurau bila kami adik beradik minta duit nak beli buku latihan. Waktu itu matapelajaran Matematik disebut Ilmu Hisab. Ha..nak beli buku hisab (ais kepal) la tu...
Waktu bulan puasa masa terasa panjang sangat. Aktiviti bermain di luar rumah pun dikurangkan kerana selalunya ketika bulan Ramadhan cuaca panas terik. Pada masa tu manalah ada permainan video komputer dan sebagainya yang boleh duduk di tempat teduh... Apa lagi tidur sajalah kerjanya sementara menunggu waktu petang. Tidak pun bermain batu seremban dengan adik beradik dan kawan-kawan...Hanim dan Kini. Di manakah agaknya mereka sekarang ini... Selepas kami berpindah langsung tidak pernah berjumpa.
Biasanya emak dah mula masak untuk juadah berbuka puasa selepas waktu Asar. Kalau buat pencuci mulut atau kuih-kuih manis yang susah sikit tu selepas waktu Zohor emak dah mula ke dapur. Aroma makanan yang dimasak selalunya mengganggu tidur petang. Kalau masa tu bapa on duty sebelah petang ke malam saya ditugaskan untuk hantar makanan ke tempat dia bekerja di ibusawat elektrik pekan Kati. Ibusawat ini terletak di atas bukit di bahagian belakang deretan kedai. Bapa tidak boleh meninggalkan tempat ini sehingga tugasnya selesai. Pada masa itu bekalan elektrik di sekitar daerah itu bergantung sepenuhnya kepada ibusawat ini. Janakuasa elektrik ini dikendalikan oleh pihak swasta tempat bapa bekerja iaitu Kinta Elektrik Distrubution (KED). Biasanya bapa menjadi orang yang dirujuk apabila ada masalah tergendala bekalan elektrik dan sebagainya. Tak kiralah masa dan waktu. Kadang-kadang di tengah malam ada yang datang ke rumah minta bantuan. Selalu juga bapa kena pergi outstation jika shiftnya di tempat lain. Berhari-hari jugalah baru balik ke rumah.
Tempat kerja bapa semasa kami tinggal di pekan Kati ini taklah jauh sangat tapi kadang-kadang rasa cuak juga dengan anjing-anjing peliharaan tauke Cina kedai di depan tu. Saya berjalan kaki membawa mangkuk tingkat berisi makanan. Mangkuk tingkat ini dipeluk kuat-kuat takut tumpah makanan kalau dikejar anjing-anjing tu. Bau makanan yang dibawa tu pulak sering mengoda puasa. Bau ikan masak taucu, kadang-kadang gulai berempah, rendang daging dan macam-macam lagi terlalu kuat aromanya. Ikan goreng saja pun baunya amat mengancam. Hmm...saya terasa kehilangan aroma itu pada masa ini walaupun resepinya sama!!!..Manalah nak lawan masakan emak...
Di bulan puasa aktiviti siang hari yang tak dapat dilakukan dialih ke malam. Selepas berbuka dan mengaji Mukadam dah tak sabar-sabar nak keluar rumah bermain polis sentri??!!. Kelakar bunyinya kan... Permainan ini melibatkan beberapa orang. Lepas tu adalah kena nyanyi sikit lagu untuk pilih siapa yang jadi polis ataupun pencuri. Dah lupa macam mana lagu tu... Sebenarnya permainan ini memanglah kasar dan lasak. Tapi masa tu tak kira baik lelaki atau perempuan semuanya sama je. Berbanding sekarang ada permainan yang lebih kurang sama tapi canggih seperti paintball ataupun laser tag. Bezanya dulu alat-alat yang digunakan seperti pistol menggunakan kayu...atau apa-apa je. Sekarang ni siap dengan peralatan dan pakaian sut tempur bagai. Dulu kasut pun tak pakai...kaki ayam rasa lebih pantas mengejar lawan.
Masa di sekolah semua murid tunjuk muka monyok... Konon nak tunjuk berpuasa. Ada sorang kawan ni asyik meludah saja kerjanya. Katanya tak boleh telan air liur nanti batal puasa. Habislah orang lain ikut meludah kat koridor sekolah sampai di marah cikgu...Hehehe... Terpaksalah ustazah datang beri ceramah panjang.
Semasa dah nak hampir hari raya emak sibuk pulak nak buat kuih raya. Dalam letih pun sempat juga buat kuih-kuih tradisional yang memerlukan perhatian yang lebih. Saya tak boleh lupa kala itu emak suka sangat buat halwa buah betik. Kuih ini memerlukan kemahiran mengukir dan cerewet nak membuatnya. Bentuk bunga Cempaka menjadi kegemaran emak. Suka juga saya tolong 'kerjakan' masa emak buat halwa ni. Kadang-kadang sampai terputus kelopak bunga-bunga cempaka tu dikerjakan.
Kalau nak diceritakan kisah bulan di Ramadan di zaman kanak-kanak ni memang panjang berjela. Belum lagi cerita di zaman remaja dan atau masa mula masuk kerja tinggal jauh dari keluarga.... Hmmm...semuanya itu menjadi kenangan yang terindah dalam hidup yang setiap kali mengingatinya menjadi satu rasa rindu kepada suasana itu.
Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh kedua ibu dan bapa yang telah berkorban terlalu banyak untuk kebahagian anak-anaknya...Amin.
panjang nye nak hafal
BalasPadam