Jumaat, 27 September 2013

Teluk Batik ....

Tak berkesempatan nak menceritakan dengan lebih detail...tengok gambar je la....
















Adik ni...leka menikmati isi kelapa....


Ragam dan gelagat manusia yang menikmati panorama pantai dengan cara masing-masing... 


Memerhati dan diperhati...





Buaya...biawak...Buaya...biawak... biayaak...  Oops terkeluar...





Jam 2.30 pagi....
          Di tepi pantai Teluk Batik... hembusan dingin angin laut dinihari menerpa tubuh... sendu dan mengharukan.  Subhanallah...Terasa amat kerdilnya diri di bawah lingkup langit yang bersatu dengan laut maha luas... 
 

            Berdiri di gigi air .... ombak kecil berlari menyentuh kaki... Kemudian beralun semula ke tengah laut dan datang kembali menyapa pasir di pantai.  Di sini juga tempat berdiri di siang hari...  Tapi suasananya cukup berbeza... Bisikan ombak terdengar bagaikan nada lagu amat indah...  Termanggu sejenak menyaksikan cinta sang ombak dan pantai bertemu dan bersatu...  tiada pernah jemu... setianya berterusan...  Feeling eh?...


Isnin, 8 Julai 2013

Ramadan yang indah....

      Selamat datang bulan Ramadan bulan yang penuh keberkatan.  Apa jua amalan baik yang dilakukan dalam bulan ini diberi pahala iaitu balasan yang berganda oleh Allah Subhanahuwataala.   Ganjaran ini tidak ada pada bulan-bulan lain.  Inilah keistimewaan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam seluruh dunia. Masing-masing melipatgandakan amalan di bulan ini dengan berpuasa di siang hari, membaca dan menghayati AlQuran, melebihkan amal kebajikan dan bersedekah, melakukan sembahyang Tarawih, tahajud dan berbagai lagi amalan seperti bertasbih, berzikir dan lainnya.
    Berbicara mengenai bulan Ramadan ini mengingatkan saya kembali kenangan-kenangan terindah di masa silam.  Tentu saja kisah zaman kanak-kanak menjadi sesuatu yang manis untuk dikongsikan.  Zaman kanak-kanak di era yang jauh berbeza dari apa yang dinikmati oleh kanak-kanak masa kini.
   Waktu itu apa yang dimasak oleh emak itulah juadah yang teramat istimewa ketika berbuka puasa.  Cukuplah berbuka dengan buah kurma, satu jenis kuih dan air minuman.  Manakala makanan berat selepas itu nasi, satu dua jenis lauk dan sayur dah memadai.  Berbeza dengan kanak-kanak sekarang yang boleh menikmati banyak pilihan.  Ibu bapa memilih apa yang di ingini dan anak-anak pula punya pilihan sendiri memilih juadah di pasar-pasar Ramadan yang wujud di bulan ini di mana-mana saja.  Bagi yang berkemampuan pula ibubapa memilih restoran ataupun lebih hebat berbuka puasa di hotel-hotel yang menawarkan buka puasa buffet dengan promosi yang menarik. Hidangan tentu saja banyak pilihannya dan sedap-sedap semuanya.  Ganjaran ini bagi menggalakkan anak-anak berpuasa.  Hmm... untung kan...
   Berbalik kepada zaman dahulu kalau rasa nak minum air batu, sirap ke oren (Takde pilihan lain)  kena beli air batu di kedai.  Saya masih ingat semasa kami tinggal di Kati, sebuah pekan kecil di Kuala Kangsar. Rumah kami di hujung pekan, jadi pergi ke kedai hanya berjalan kaki saja. Suasana amat meriah dengan orang ramai beratur membeli air batu di kedai Mamak Sudin.  Air batu ini berupa blok-blok besar dan dipotong dengan gergaji mengikut kehendak pembeli.  Kemudian air batu ini akan dibungkus dengan kertas dan dibalut dengan habuk kayu sebagai bahan menahannya daripada cair.  Kadang-kadang disebabkan leka singgah dari satu kedai ke satu kedai sampai ke rumah air batu tadi dah menipis.
   Kedai Sudin ni betul-betul terletak di simpang tiga pekan Kati.  Pada hari-hari biasa, kedainya menjadi serbuan kanak-kanak yang balik dari sekolah membeli air minuman.  Dia menjual air sirap, air bandung, ais kacang (ABC) dan minuman botol.  Tapi yang menjadikan dia tak menang tangan ialah jualan ais kepal.  Kanak-kanak sekolah yang haus berkeliling tak sabar menunggu Mamak Sudin ni mengisar air batu.  Masing-masing berhimpit-himpit menolak sampai ada yang terjatuh.  Hebat penangan ais kepal Sudin ni.  Air batu yang dikisar kemudiannya dibentuk seperti bola kecil dan disiram dengan air gula sirap berselang air gula merah.   Inilah yang dihisap dan disedut dalam perjalanan balik sekolah ke rumah.  Naik bengkaklah juga bibir dan tapak tangan menahan sejuknya.
     Masa tu nak menipu dengan mak tak singgah di kedai Sudin pun nampak sangat sebab bibir dah tebal... Bapa suka bergurau bila kami adik beradik minta duit nak beli buku latihan.  Waktu itu matapelajaran Matematik disebut Ilmu Hisab.  Ha..nak beli buku hisab (ais kepal) la tu... 
    Waktu bulan puasa masa terasa panjang sangat. Aktiviti bermain di luar rumah pun dikurangkan kerana selalunya ketika bulan Ramadhan cuaca panas terik. Pada masa tu manalah ada permainan video komputer dan sebagainya yang boleh duduk di tempat teduh...  Apa lagi tidur sajalah kerjanya sementara menunggu waktu petang.  Tidak pun bermain batu seremban dengan adik beradik dan kawan-kawan...Hanim dan Kini.  Di manakah agaknya mereka sekarang ini...  Selepas kami berpindah langsung tidak pernah berjumpa.
   Biasanya emak dah mula masak untuk juadah berbuka puasa selepas waktu Asar.  Kalau buat pencuci mulut atau kuih-kuih manis yang susah sikit tu selepas waktu Zohor emak dah mula ke dapur.  Aroma makanan yang dimasak selalunya mengganggu tidur petang.  Kalau masa tu bapa on duty sebelah petang ke malam saya ditugaskan untuk hantar makanan ke tempat dia bekerja di ibusawat elektrik pekan Kati.  Ibusawat ini terletak di atas bukit di bahagian belakang deretan kedai.  Bapa tidak boleh meninggalkan tempat ini sehingga tugasnya selesai.  Pada masa itu bekalan elektrik di sekitar daerah itu bergantung sepenuhnya kepada ibusawat ini. Janakuasa elektrik ini dikendalikan oleh pihak swasta tempat bapa bekerja iaitu Kinta Elektrik Distrubution (KED).  Biasanya bapa menjadi orang yang dirujuk apabila ada masalah tergendala bekalan elektrik dan sebagainya.  Tak kiralah masa dan waktu.  Kadang-kadang di tengah malam ada yang datang ke rumah minta bantuan.  Selalu juga bapa kena pergi outstation jika shiftnya di tempat lain. Berhari-hari jugalah baru balik ke rumah. 
      Tempat kerja bapa semasa kami tinggal di pekan Kati ini taklah jauh sangat tapi kadang-kadang rasa cuak juga dengan anjing-anjing peliharaan  tauke Cina kedai di depan tu.  Saya berjalan kaki membawa mangkuk tingkat berisi makanan.  Mangkuk tingkat ini dipeluk kuat-kuat takut tumpah makanan kalau dikejar anjing-anjing tu.  Bau makanan yang dibawa tu pulak sering mengoda puasa.  Bau ikan masak taucu, kadang-kadang gulai berempah, rendang daging dan macam-macam lagi terlalu kuat aromanya.  Ikan goreng saja pun baunya amat mengancam.  Hmm...saya terasa kehilangan aroma itu pada masa ini walaupun resepinya sama!!!..Manalah nak lawan masakan emak...
    Di bulan puasa aktiviti siang hari yang tak dapat dilakukan dialih ke malam.  Selepas berbuka dan mengaji Mukadam dah tak sabar-sabar nak  keluar rumah bermain polis sentri??!!.   Kelakar bunyinya kan...  Permainan ini melibatkan beberapa orang.  Lepas tu adalah kena nyanyi sikit lagu untuk pilih siapa yang jadi polis ataupun pencuri. Dah lupa macam mana lagu tu...  Sebenarnya permainan ini memanglah kasar dan lasak.  Tapi masa tu tak kira baik lelaki atau perempuan semuanya sama je.  Berbanding sekarang ada permainan yang lebih kurang sama tapi canggih seperti paintball ataupun laser tag.  Bezanya dulu alat-alat yang digunakan seperti pistol menggunakan kayu...atau apa-apa je.  Sekarang ni siap dengan peralatan dan pakaian sut tempur bagai.  Dulu kasut pun tak pakai...kaki ayam rasa lebih pantas mengejar lawan.
    Masa di sekolah semua murid tunjuk muka monyok... Konon nak tunjuk berpuasa.  Ada sorang kawan ni asyik meludah saja kerjanya.  Katanya tak boleh telan air liur nanti batal puasa.  Habislah orang lain ikut meludah kat koridor sekolah sampai di marah cikgu...Hehehe...  Terpaksalah ustazah datang beri ceramah panjang.
    Semasa dah nak hampir hari raya emak sibuk pulak nak buat kuih raya.  Dalam letih pun sempat juga buat kuih-kuih tradisional yang memerlukan perhatian yang lebih.  Saya tak boleh lupa kala itu emak suka sangat buat halwa buah betik.  Kuih ini memerlukan kemahiran mengukir dan cerewet nak membuatnya. Bentuk bunga Cempaka menjadi kegemaran emak.  Suka juga saya tolong 'kerjakan' masa emak buat halwa ni.  Kadang-kadang sampai terputus kelopak bunga-bunga cempaka tu dikerjakan.
   Kalau nak diceritakan kisah bulan di Ramadan di zaman kanak-kanak ni memang panjang berjela.  Belum lagi cerita di zaman remaja dan atau masa mula masuk kerja tinggal jauh dari keluarga.... Hmmm...semuanya itu menjadi kenangan yang terindah dalam hidup yang setiap kali mengingatinya menjadi satu rasa rindu kepada suasana itu.
   Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh kedua ibu dan bapa yang telah berkorban terlalu banyak untuk kebahagian anak-anaknya...Amin.

Sabtu, 15 Jun 2013

Bukit Larut...

    Bukit Larut di Taiping Perak ataupun dulunya dikenali sebagai Bukit Maxwell adalah kawasan rehat tanah tinggi yang tertua di Malaysia. Namanya diambil bersempena nama seorang Penolong Residen British Perak, George Maxwell (1846 - 1897) yang menerokanya.  Walaupun tempat ini tidak popular seperti Cameron Highlands ataupun Bukit Fraser tetapi ia mempunyai identitinya tersendiri.  Suasananya yang tenang, sunyi, nyaman dan semulajadi menambat hati sesiapa yang pernah ke sana untuk kembali berkunjung semula.
 


    Sekali lagi tempat ini menjadi pilihan destinasi cuti-cuti keluarga kami. Untuk kesekian kalinya kami mengatur trip menuju ke puncak Bukit Larut dengan segala macam persiapan.  Pada trip yang lalu kami tertinggal beras dan bahan-bahan lain untuk dimasak di atas sana. Tapi kali ini...nah, sampai pemandu jip pun terkejut tengok barang-barang kami.  Katanya macam nak duduk sebulan.  Hehehe... penuh trailer....
    Kami menaiki jip yang ditempah tiga minggu awal.  Bayaran bagi orang dewasa sebanyak RM6 dan kanak-kanak separuh daripadanya. Sewa trailer pulak RM15.  Barang-barang yang agak fragile dipegang sendiri. Takut kejadian yang lalu berulang iaitu ada barang yang terbang dari trailer, kami lebih berhati-hati menyorok barang-barang ringan di bahagian bawah.

    Walaupun thrill semasa jip ini memecut ke puncak tidaklah sehebat pengalaman beberapa kali ke sini dulu tapi masih ada rasa ngeri bila mendengar tayar jip menciut kala membelok di selekoh tajam.  Perjalanan mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk sampai ke banglo yang kami sewa iaitu pada ketinggian 1034 meter daripada paras laut.  Dari kaki bukit tempat jip ini memulakan perjalanan hingga ke puncaknya terdapat lebih kurang 72 selekoh berliku yang akan ditempuh. Memang ekstrim...




   Nasib baik pemandu sedikit peramah membuatkan lupa seketika rasa cemas yang bersarang.  Tapi kala menjeling ke bawah gaung curam menerusi tingkap jip yang terbuka...kus semangat.. Jalan bertar ini cuma selebar sebuah kenderaan saja dan bertebing curam. Ada juga bahagian jalan yang keadaannya seperti berlaku gelonsoran tanah. Pheww....
    Semasa jip kami bertembung dengan jip yang hendak turun ke bawah, terpaksalah berundur sedikit untuk memberi ruang kepada kenderaan tersebut turun meneruskan perjalanan.  Masa inilah masing-masing menjerit-jerit bimbang mengelungsur ke bawah.  Pemandu jip hanya tersenyum.  Dia biasa sangat dengan gelagat penumpang-penumpang yang merasa cuak. Namun kemahirannya memandu dalam situasi begini memang tidak perlu dipersoalkan lagi.


  
Pendaki terpaksa ke pinggir jika ada jip yang lalu kerana jalannya sempit...

      Sepanjang perjalanan leka melihat pemandangan alam semula jadi.  Kawasan bukit ini di naungi pokok hutan dara tropika yang berusia ratusan tahun.  Deruan air mengalir turun dari celah-celah batu besar dan rimbunan paku pakis ke parit-parit di tepi jalan memberikan udara yang nyaman dan segar. Kelihatan ada pendaki yang melepak di sini melepaskan penat.  Kami diberitahu ada dua jalan yang boleh sampai ke puncak.  Bagi yang suka mendaki mereka boleh mendaki melalui laluan trek yang disediakan ataupun jalan bertar yang dilalui oleh jip ini.
Tea Garden House
    Cuaca yang sejuk dan lembab di kawasan ini membenarkan hidupan pelbagai flora dan fauna.   Faktor ini jugalah diambilkira oleh pegawai-pegawai Britisih untuk membina sebuah tea garden di mana penanaman teh jenis Assam cuba di tanam di Bukit Larut.  Bagaimanapun setelah beberapa ketika ia dipindahkan ke Cameron Highlands. Kita masih dapat melihat bangunan kuarters pekerja-pekerja ladang teh kira-kira separuh perjalanan mendaki.
    Dalam keadaan masih pening kami sampai di rumah penginapan Banglo Permai View.  Sebenarnya sudah beberapa kali jugalah kami menyewa rumah ini. Kami pernah juga tinggal di Banglo Tempinis yang kedudukannya lebih jauh ke puncak dan agak jauh terasing daripada banglo lain.  Banglo Permai View ini mempunyai tiga bilik tidur, ruang tamu, ruang  makan, bahagian dapur dan dua bilik air. Kelengkapan untuk memasak ada disediakan.  Tapi setiap kali ke sini kami lebih gemar membawa peralatan sendiri.
     Banglo-banglo lain yang terdapat di Bukit Larut ini adalah Beringin, Angkasa, Cendana, Sri Kayangan dan Rumah Rehat Gunung Hijau.  Rumah-rumah ini asalnya rumah rehat pegawai-pegawai tinggi British di zaman kolonial dulu yang telah diubahsuai. Mereka meneroka tempat ini dan menjadikannya sebagai tempat berehat kerana cuacanya yang dingin.  
Banglo Permai View

Beringin
     Setelah menikmati makan tengahari, berehat dan menunaikan apa yang patut kami keluar mendaki ke tempat yang lebih tinggi.
     Di paras 1036m dari laut ini terletaknya taman yang dilengkapi dengan bangunan menara dan titi gantung. Keseluruhan Bandar Taiping boleh dilihat dari sini.  Malah boleh juga nampak muara Kuala Sepetang dan Selat Melaka.  Sayangnya bangunan menara tinjau ini sudah tidak selamat digunakan lagi.

Lebih menarik jika ditanam lebih banyak pokok-pokok bunga  


   
Woww...
    Dari taman ini kami mendaki ke aras yang lebih tinggi sedikit.  Di sini terdapat sebuah cafe.  Tidak pasti ia masih beroperasi  ataupun tidak kerana setiap kali sampai ke sini ia ditutup. Mungkin dalam proses pengubahsuaian.  Beberapa buah bangunan rumah kelihatan terbiar di sini.  Kebanyakan bumbung bangunan, dinding, batu-batu besar dan batang pokok kelihatan diselaputi lumut hijau.  Pokok-pokok Pine yang berusia beratus tahun teguh berdiri memberi pemandangan yang agak berbeza daripada tempat-tempat lain.
   Pengunjung yang tidak bermalam akan diturunkan di sini dan dijemput semula mengikut jadual yang ditentukan sebelum jam 5 petang.  Ketika ini hanya kami saja yang berada di sini.  Suasana .  begitu tenang dan sunyi.  Tiada kedengaran bunyi selain hembusan angin, desiran dedaun dan cicipan burung-burung.


Cafe Bukit Larut

Mendaki lebih tinggi sikit pasti akan sampai  ke Cendana Hut. Ia dikendalikan oleh pihak swasta Kamalbina Sdn. Bhd. Penginap  tidak dibenarkan memasak di sini.  Bagaimanapun makanan disediakan oleh pihak pengurusan jika  diminta dan tidak termasuk dalam bayaran tempat menginap. Inilah satu-satunya rumah penginapan di Bukit Larut yang ada kafeteria.  Di hadapannya  dibuat satu sitting area yang menarik dimana sambil makan dan minum sambil menikmati pemandangan yang sangat indah.

Cendana Hut




    Berhampiran banglo ini terdapat sebuah tapak semaian bunga Tulip yang menjadi tumpuan peminat-peminat bunga yang benihnya didatangkan khas dari Belanda satu ketika dulu.   Sayangnya ia juga tidak diusahakan sejak empat tahun lalu disebabkan beberapa faktor. 
      Kami pernah mendaki hingga ke Banglo Tempinis semasa bermalam di sana yang tingginya 1143 meter di puncak.  Banglo ini terletak betul-betul di pinggir hutan dan di bahagian hadapannya terdapat batu-batu yang besar. Di sini cuacanya lebih sejuk dan sunyi apalagi di kala malam.  Semasa kami menginap di sini dulu tidak ada aktiviti malam yang dapat kami buat kerana di luar sejuknya menusuk ke tulang.  BBQ pun terpaksa buat dalam rumah saja.



Banglo Tempinis semasa kami menginap di sini...awal tahun 2010 

     Tapi di Banglo Permai View kami ber BBQ di luar rumah.  Halaman rumah ini betul-betul menghadap pemandangan bandar Taiping dan sekitar. Waktu malam pemandangan lampu-lampu sayup di bawah sana kelihatan seperti butiran permata yang berkilauan.  Menjamu selera sambil menikmati pemandangan malam bandar Taiping yang berkabus di puncak Bukit Larut....memang mengasyikkan....






Antara menu makan malam...

Tu bulan.....

Sarapan pagi...bersama sejenis ulam yang tumbuh sekitar rumah..
disyorkan oleh seorang h/keeper yang sangat peramah....


Tumbuhan herba.....bahan perisa dalam sup atau tomyam di petik di laman rumah...
Seakan-akan daun kesum tumbuh di tepi-tepi jalan

   Peliknya walaupun cuaca di sini sejuk makin pulak kerap rasa nak mandi.  Sengaja tidak menggunakan water heater untuk merasakan kesegaran air di sini.  Memanglah pada curahan pertama ke badan terjerit terlolong dibuatnya.  Lama kelamaan semakin segar rasanya walaupun mandi di awal subuh!
Menghirup udara segar dan nyaman di waktu pagi



  Bagi sesetengah orang Bukit Larut mungkin satu tempat yang membosankan keran a jauh dari kemudahan moden.  Lain pula bagi saya, Bukit Larut memberikan suasana tenang, tenteram dan mendamaikan.  Setiap kali ke sini saya terasa seolah-olah berjanji akan datang semula untuk menikmati suasana yang sememangnya sukar nak digambarkan.
   Namun ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian oleh pihak-pihak tertentu bagi memastikan tempat istirehat seperti ini akan terus dapat dinikmati keindahannya oleh generasi akan datang.  Penyelenggaraan berkala sebaiknya dilakukan pada bangunan-bangunan yang ada kerana ia merupakan tinggalan sejarah yang tentunya tidak akan dibina semula.  Tea House Garden dibangunkan semula setanding Tea Bharat Plantation di Cameron Highlands.  Wujudkan kembali tapak semaian Tulip yang menjadi daya tarikan pengunjung. Hiasan pokok-pokok bunga berbagai warna perlu diperbanyakan.  Paling penting tingkatkan mutu laluan bertar yang dilalui oleh jip-jip.  Keselamatan pengunjung mesti diutamakan. 
Sebuah rumah yang terbiar usang berhampiran Permai View

   Apa pun yang diusahakan bagi menambahbaikan seharusnya tidak mengganggu ekologi dan keindahan alam semula jadi yang dianugerahkan oleh Yang Maha Esa untuk kita wariskan kepada generasi seterusnya...
   
Dari tingkap jip
   Bye bye....Bukit Larut...hingga jumpa lagi....


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...