Cuti sekolah yang panjang pada hujung tahun memang dinantikan oleh semua orang. Pelajar-pelajar memang menunggu masa ni untuk merehatkan minda dan melakukan apa saja aktiviti yang tidak boleh dilakukan waktu persekolahan. Seawal pagi dah dengar riuh rendah suara mereka di laman rumah berborak sesama kawan. Di mana saja ada kawasan lapang di situlah mereka berkumpul dan bermain. Sana sini bersusun-susun basikal. Ada je aktiviti mereka.
Bagi mak bapak pulak kerja makin bertambah. Kerja mengemas, membasuh dan memasak menuntut lebih masa dan tenaga. Dan yang paling penting tugas mengawasi kegiatan mereka seharian. Perancangan masa perlu dibuat untuk mereka supaya cuti yang panjang tidak berlalu sia-sia.
Musim ini juga lebih dikaitkan dengan musim kenduri kawin. Boleh dikatakan setiap minggu ada saja jemputan. Dalam sehari bertindih-tindih pulak sampai dua tiga yang buat kenduri kawin. Itu tak termasuk majlis bertunang, bersunat, cukur jambul dan lain-lain lagi, Dalam satu kawasan perumahan boleh nampak khemah didirikan di mana-mana. Pernah berlaku jemputan tersalah rumah. Makan dah selesai bila nak jumpa pengantin dah tersipu-sipu rupanya jemputan di rumah sebelah. Kira halal je la...
Apabila terlalu banyak undangan pening kepala juga. Maklumlah ada masanya badan rasa tak berapa sihat maka mood pun hilang. Poket pulak mestilah berisi kalau rumah kenduri tu agak jauh untuk duit minyak, duit tol dan belanja lain. Bagi perempuan pulak nak ke majlis kenduri ni mestilah kena ada pakaian yang sesuai. Asyik recycle pun naik segan pulak. Nak lagi tetamu yang hadir adalah dalam lingkungan tempat yang sama.
Apa pun sebagai penerima jemputan sememangnya wajib kita memenuhi undangan. Sabda Nabi s.a.w, "Bebaskanlah tawanan, penuhilah undangan dan jenguklah orang yang sakit" Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari.
Tuan rumah seharusnya berterimakasih sangat-sangatlah kepada tetamu yang hadir. Ini bukanlah kerana isi dalam tangan ketika menghulurkan salam tetapi atas kesudian mereka meluangkan sedikit masa nak sama-sama memeriahkan majlis. Mereka ni sanggup datang walaupun menghadapi masalah sendiri untuk menunjukkan muka demi persaudaraan, persahabatan dan kejiranan. Bayangkanlah tetamu yang dijemput ramai yang tak dapat datang kemanalah nak dihalakan makanan yang berlambak-lambak tu. Kejadian macam ni tak mustahil berlaku. Begitu juga kalau sebaliknya. Huhuhu...inilah situasi yang membuatkan tuan rumah tak tidur malam.
Ada jugak orang buat kerja kawin tapi tak jemput jiran sekeliling. Malah jiran terdekat di depan rumah yang bertemu bumbung rumah dengan bumbung khemah pun tak dipelawa! Walhal tetamu yang datang meletakkan kereta di depan pintu pagar jiran hinggakan tuan rumah nak keluar pun susah. Pelik tapi benar. Kita tak boleh nak kata apa. Kenduri tu kenduri dia, suka hati dialah... Jiran-jiran tengok dan dengar je la. Cakap banyak pun tak guna tambah dosa ada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan