Sabtu, 22 Mac 2014

Nostalgia menaiki Keretapi

Stesyen Keretapi Kuala Kangsar

        Inilah Stesen Keretapi Kuala Kangsar yang baru serba lengkap, moden dan memenuhi kehendak semasa.   Rekabentuk bangunan ini berunsurkan kepada senibina Moorish.  Stesen ini baru saja beroperasi. Ada aku dengar tentang sekumpulan warga emas merasa kecewa kerana hasrat mereka nak menaiki keretapi secara percuma dari stesen ini ke Ipoh pada hari pembukaan tak tercapai. Namun akhirnya mereka menyatakan rasa terharu walaupun hanya dapat melihat bangunan yang baru ini.




Ruang membeli tiket yang luas, selesa, bersih dan berhawa dingin.

 Sementara menunggu sambil menikmati pemandangan dari tingkap cermin.

Platform berbumbung yang panjang memberi keselesaan...





Kemudahan tangga dan lif juga disediakan...

         Jauh benar bezanya dengan stesen keretapi yang lama.....

         Berdiri di sisi tingkap cermin ini aku membayangkan suatu ketika dulu di hujung sana...sebuah bangunan kayu yang menghadap landasan keretapi.  Deretan bangku panjang diletakkan berhampiran platform tempat penumpang menunggu. Masih segar terbayang di mata kanak-kanak berebut tempat duduk yang terhad. Ibu bapa memujuk anak-anak supaya tidak berlari-lari di tepi platform. Beg-beg besar penuh muatan. Suara si penjual kacang putih terjerit-jerit di tepi tangga. Suara tawar menawar pemandu kereta prebet sapu dengan pelanggan yang baru saja turun dari keretapi. Orang tua dan keluarga yang berwajah muram kerana berpisah dengan anak pergi jauh...  Bunyi loceng yang kuat sebelum digantikan dengan wisel menandakan keretapi akan sampai dan meneruskan perjalanan. Aksi Ketua Stesen menyerah token ataupun kuasa kepada pemandu keretapi yang sedang bergerak laju.  Bendera hijau..,merah...dan seribu satu warna di stesen keretapi yang dulu pernah di tonton.  Namun bangunan yang menyimpan banyak kenangan itu sudah dirobohkan turut menghapuskan suasana seperti yang aku gambarkan.  Bangunan baru tempat aku berdiri ini telah mengambil alih tugas-tugas itu.

    Dulu ada gerai makan yang tak berapa jauh dari bangunan stesen ini.  Kini ia juga sudah dirobohkan.  Di gerai inilah tempat menunggu yang paling disukai sambil pekena secawan kopi dan mi goreng, mi bandung atau apa saja. Bau jagung rebus yang panas berasap dan kacang putih juga selalu mengusik-usik hidung ketika itu.  Cuma kalau hendak memulakan perjalanan tak berani nak makan berlebihan takut bila ada panggilan kecemasan kemana pulak nak dibuang...  Waktu itu tandas awam yang ada di situ cukuplah menyeramkan. Kalau nak tunggu hingga naik keretapi cabaran yang lain pulak akan dihadapi. Bayangkan perjalanan keretapi yang sekejap laju sekejap perlahan, terhohong hayang dibuatnya. Ruang tandas amat sempit dan lubang tandasnya terus saja ke bawah hingga nampak batu-batu atas landasan rel keretapi. Apa saja yang dibuang melalui lubang itu akan terbang entah ke mana...
 
      Kini KTMB telah menaiktaraf semua kemudahan dan perkhidmatan untuk keselesaan penumpang.  Tandas, kantin, koch, kabin tempat duduk dan tidur dan pelbagai kemudahan juga perkhidmatan serba baru dan moden.  Dulu cuma tau nama-nama seperti Ekspress Rakyat, Senandung Malam, Sinaran Pagi, Mel...  Sekarang ni wujud keretapi elektrik...ETS, ERL dan entah apa-apa ekspress lagi... 

    Apa pun pengalaman menaiki kereta api di  hujung tahun-tahun 70an dan 80an memang meninggalkan banyak kenangan. Apa lagilah di musim perayaan. Perkhidmatan ini melalui zaman gemilangnya ketika itu kerana pengangkutan awam untuk balik kampung memang payah. Ramai yang tidak mempunyai kenderaan sendiri memilih sama ada menaiki bas atau kereta api.  Berbanding di era kini ekonomi rakyat lebih kukuh.  Ramai yang sudah mampu untuk memiliki kenderaan sendiri.  Lagipun masa tu belum banyak lagi pembinaan lebuhraya. 

    Pernah beberapa kali jugalah aku menaiki keretapi dengan tiket kelas tiga berdiri sepanjang perjalanan. Semasa hendak naik gerabak pun dah separuh nyawa terselit di celah-celah orang ramai berebut-rebut mencari tempat duduk. Masa tu walaupun tempat duduk sudah penuh tapi tiket masih dijual bagi memberi peluang penumpang yang nak membuat perjalanan ke destinasi masing-masing. Bagi yang berani waktu keretapi masuk saja ke platform dah sedia campak beg dari tingkap keretapi atau apa-apa saja untuk menanda tempat duduk.
      Dalam perjalanan kalau ada yang kesian dapatlah duduk sekadar menghilangkan lenguh ketika penumpang yang berdekatan ke bilik air atau ke kantin. Paling malang terpaksa berdiri berhimpit-himpit di penyambung gerabak atau di pintu keretapi. Malah pernah berdiri di tangga keretapi pun...   Aircond tak ada...yang ada cuma kipas angin.  Semua itu tak jadi kisah.  Walaupun duduk di lantai kereta api, berdiri sepanjang perjalanan ataupun terpaksa menghabiskan bercawan-cawan teh di kantin untuk dapat duduk di kerusi, semuanya dibuat demi pulang ke kampung yang bagaikan mengamit.
            Kini senario seperti penjaja yang berjualan di dalam keretapi sudah tidak dapat dilihat lagi.  Dulu bila sampai ke satu stesen ada saja kanak kanak atau orang dewasa menjunjung bakul penuh dengan kuih muih, bihun goreng, nasi lemak dan air minuman yang siap di bungkus untuk dijual kepada penumpang. Kadang kadang panik juga bila tengah sedap-sedap dibuai mimpi tiba-tiba  melayang bakul kuih di depan muka. Ada juga penjaja yang menjaja dari tingkap ke tingkap saja. [Waktu tu tingkap keretapi boleh dibuka sepanjang perjalanan..takde aircon,,,] Laungan seperti "Kopi, kopi..teh...Nasi lemak...karipap, nasi goreng...mi goreng...panas, panas ", membangkitkan suasana segar di lewat malam atau dinihari.

    Banyak perkara yang membuat aku memilih menaiki keretapi bagi perjalanan pergi dan balik kampung walaupun memakan masa lebih lama dibandingkan menaiki bas atau kereta.  Untungnya kita mengenali bukan sahaja penumpang yang menuju ke destinasi yang sama malah merentasi bebeberapa negeri lain. Tentu saja dapat menyaksikan pelbagai kerenah telatah manusia. Lebih-lebih lagi dapat melihat pemandangan gunung ganang, hutan, sungai, kampung dan pekan-pekan kecil.
     Bagi aku perjalanan di sebelah malam lebih mengasyikkan. Selain udara yang nyaman hati lebih tenang menyaksikan langit malam dan suasana yang bening kala penumpang lain berbual-bual kecil dan yang lain melelapkan mata. Bunyi kipas angin yang berputar ligat dan bunyi roda-roda keretapi yang bergesel dengan rel menghasilkan irama yang asyik pada pendengaranku.  Mungkin sama ada kerana Kumpulan Kembara memang ngetop waktu itu ataupun aku yang memangnya terlalu taksub dengan lagu-lagu kumpulan itu seperti Ekspress Rakyat, Impian Anak Jalanan, Senandung Buruh Kasar, Bunga Bakawali...Hati Emas....Bas No.13..Oh Bulan dan lain-lain...lagu-lagu itu secara automatis seperti berlagu di minda menemani sepanjang perjalanan. Mungkin juga ia begitu seiring dengan kehidupan aku yang ketika itu terlontar di tengah-tengah ibukota....
     Masa itulah wajah-wajah kedua orang tua dan keluarga bersilih ganti terbayang di mata.  Hmmm... Aku memilih untuk duduk di bahagian tepi tingkap supaya dapat mendongak ke langit melihat langit dinihari... melihat bulan yang bersembunyi dibalik awan...

 Malam
Bila rinduku bertambah dalam
Kau datang lagi dengan kenangan
Oh betapa dinginnya malam ini
Kasih
Bila malamku bertambah kelam
Seribu kisah melintas mata
Dan malam ini sungguh mencengkam.
..
Bila malam
Tiap kali ku pandang semalam
Resahku sering menjadi dendam
Hatimu ku rasakan dingin
Dan malam
Adalah masa yang membawa kesan
Pada diriku yang kesepian
Kini ku tenggelam
Di bawah alunan ombak malam
Oh! malam
Bila malam
Tiap kali ku pandang semalam
Resahku sering menjadi dendam
Hatimu ku rasakan dingin
Dan malam
Jika dikau dapat bicara
Katakanlah pada hamba
Mengapa dia pergi membawa hati ini
Oh! mengapa
Oh! Malam


     Lagu Kembara lagi...dan lagi..dan lagi...dan lagi...

     Kala tiba di stesen Keretapi Kuala Lumpur yang terletak berhampiran Masjid Negara... aku bersama insan lain berbondong-bondong turun dari keretapi kembali menjadi anak perantauan Aku...Gadis dan Kota...yang Hidup Cara Sendiri...meneruskan Perjuangan..tanpa Kawan...sering saja Sesat di Kuala Lumpur...melalui Jalan Sehala menuju ke Perhentian Puduraya... terkurung dalam Empat Penjuru di Dunia Tanpa Cinta...  Makan di Warung Sederhana...di Benteng Selera....  Wow...Ini semua lagu-lagu Kembara....M.Nasir..  Huhh...Aku sudah  tersasar... jauh.  Biar aku coret kisah-kisah ini di N3 yang lain pula......


   Kalau dibiarkan terus mencoret memori lama mengenai keretapi ini memang berjela panjangnya...  Cuma apa yang hendak dikatakan KTMB kini telah jauh meninggalkan stesen-stesen lamanya memecut di atas landasan pemodenan...  Tinggallah saki baki stesen-stesen lama yang bagi aku kaya dengan sejarah dan sangat klasik bakal dirobohkan satu demi satu...membiarkan insan-insan lama seperti aku terus bernostalgia dengannya....

Express Rakyat
Cepat-cepat jangan Terlambat
Express Rakyat
Jam delapan akan berangkat

Jentera yang membawa berbagai rupa
Tidak kira tua ataupun muda
Bergerak laju mengikut waktu
Meniti landasan berliku tanpa jemu

Express Rakyat

Membawa daku keliling ke tanah airku
Berbagai-bagai yang boleh kita lihat
Desa yang permai dengan sawah ladang
Gunung-ganang kuning hijau dedaunan
Ada dara manis sedang menjemur kain
Anak kecil di atas kerbau melambai-lambai

Membawa daku keliling ke tanah airku
Laju-laju kehidupan di ibukota
Kalau selalu lambat takkan ke mana-mana
Kiri kanan jalan, jentera berdesakan
Membawa daku ke alam impian
Di dalam keretapi malam yang dingin

 Tut...tut...tut














Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...